Skip to content

RM1.8 juta untuk setiap katil hospital walaupun kurang kelengkapan

Pada 1 November 2016, George Kent (M) Bhd dilaporkan telah menerima surat anugerah (LOA) untuk mereka bentuk dan membina sebuah hospital 150 katil di Tanjong Karang pada kos RM277.2 juta, yang bersamaan dengan RM1.848 juta bagi sebuah katil. Hospital ini dijangka mengambil masa 4 tahun untuk disiapkan menjelang November 2020.

Hospital Tanjong Karang yang baru ini bolehlah dikategorikan sebagai “hospital perkhidmatan pakar minor” mempunyai blok perubatan dan wad 150 katil dan dua bilik pembedahan (OT) disamping kemudahan perubatan dan kelengkapan yang lain.

Sementara itu Hospital Shah Alam yang mempunyai 300 katil hanya telah siap dibina pada tahun lalu selepas mengalami kelewatan yang besar dengan kos RM550 juta. Ini bersamaan RM1.83 juta sekatil. Hospital ini bertaraf pusat rujukan sekunder sahaja.

Sebagai perbandingan, Hospital Pakar KPJ Kuching yang baru dan mempunyai 300 katil juga dilengkapi semua kemudahan perubatan canggih termasuk untuk perkhidmatan ortopedik dan traumatologi, kardiologi dan pembedahan jantung, kemoterapi dan radiasi onkologi serta pembedahan plastik. Perkhidmatan-perkhidmatan ini adalah yang tidak boleh didapati walaupun di dalam kebanyakan hospital rujukan kecil negeri. Fasa satu Hospital KPJ Kuching mempunyai 150 katil dan dibina pada kos RM130 juta sahaja. Kos setiap katil hanya RM866,666. Ini adalah kurang daripada separuh kos pembinaan Hospital Tanjong Karang dan juga Hospital Shah Alam.

Saya ingin meminta Menteri Kesihatan untuk menjelaskan mengapa kos pembinaan hospital kerajaan baru menjadi jauh lebih tinggi daripada kos pembinaan hospital swasta. Mengapakah perlu membayar dua kali ganda untuk mendapat kemudahan yang kurang lengkap?

Perkara yang paling buruk ialah selepas membayar berganda kali lebih banyak bagi pembinaan hospital-hospital ini, kebanyakan projek pembinaan hospital ini menghadapi pelbagai masalah dan tergendala penyiapannya. Hospital Shah Alam hanya siap dibina selepas kontraktor yang pertama diberhentikan. Projek Hospital Parit Buntar juga dilabel “tenat” dan amat kebelakang dalam jadual pembinaannya.

Dengan peruntukan untuk pembinaan hospital baru dalam Bajet 2017 diturunkan kepada RM177 juta, kita tidak boleh membazir lagi dan berharap untuk mencapai tambahan 100 katil hospital sahaja pada kos RM1.8 juta setiap katil. Malaysia memerlukan penambahan 30,000 katil untuk memenuhi keperluan kesihatan negara dengan 30 juta penduduk. Pada kadar sekarang ini, ia akan mengambil kerajaan 300 tahun untuk mencapai sasaran tersebut. Malah negara memerlukan lebih banyak lagi hospital baru untuk menggantikan hospital zaman dahulu dengan reka bentuk dari era yang lain. Kebanyakan daripada hospital lama ini sudah merbahaya dari segi keselamatan dan tidak memenepati keperluan keselamatan semasa. Perlu diingat bahawa Sultan Johor telah bertitah supaya kerajaan membina sebuah hospital baru bagi menggantikan Hospital Sultanah Aminah yang mempunyai 1206 katil yang sudah terlalu berusia.

Bilangan pesakit yang dirawat di hospital kerajaan dijangka meningkat sebanyak 5% setahun. Banyak lagi hospital lama akan tercekik di bawah tekanan meningkat permintaan pesakit sebelum hospital yang baru dapat dibina. Apabila Pakatan Harapan memenangi pilihan raya nanti dan membentuk kerajaan, kita akan menambah peruntukan untuk pembinaan hospital baru dan yang paling penting, kita akan memastikan semua projek pembinaan hospital baru dilakukan melalui tender terbuka menyelamatkan perkhidmatan kesihatan kita.