BN harus menghentikan pembohongan mereka bahawa Pulau Pinang di bawah Pakatan Harapan telah menarah bukit dan telah menjadikankan ‘botak’ sedangkan Pulau Pinang merupakan satu-satunya negeri di Malaysia sejak 10 tahun yang lepas dari 2006-2015, di mana tiada seinci persegi hutan simpanan kekal yang telah ditebang. Berbanding dengan Negeri Pahang yang telah menebang hutan simpanan kekal yang terbesar di Malaysia sebanyak 161,379 hektar, diikuti dengan Negeri Kelantan sebanyak 157,919 hektar dan Perak sebanyak 74,032 hektar. Angka daripada Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia juga menunjukkan negeri yang terkecil di Malaysia iaitu Perlis turut menebang hutan simpanan kekal sebanyak 167 hektar (lihat jadual).
Hanya Pulau Pinang yang tidak pernah menyentuh walau seinci persegi hutan simpanan kekal. Penerokaan haram di tanah swasta tanpa permit daripada Pihak Berkuasa Tempatan telah diambil tindakan dan dihentikan. Sekiranya BN berjaya mengambil alih kuasa di Pulau Pinang, jelas mereka akan mengurangkan hutan simpanan kekal seperti yang telah mereka lakukan di negeri-negeri lain sejak 10 tahun yang lepas. Jelas membuktikan mereka yang membotakkan bukit dan hutan adalah BN dan sekutu barunya, PAS di Kelantan.
Jika BN merampas kuasa, bukan sahaja bukit dan hutan yang akan menjadi ‘botak’. Prestasi dan sumber kewangan juga mungkin akan menjadi ‘botak’ dan kita mungkin tidak dapat menikmati lebihan prestasi kewangan dan bajet tahunan yang kukuh sejak 8 tahun yang lepas daripada 2008-2015. Pulau Pinang telah mencatatkan lebihan belanjawan terkumpul sebanyak RM574 juta daripada tahun 2008-2015 yang melebihi RM373 juta lebihan belanjawan yang dicatatkan selama 50 tahun di bawah pemerintahan BN daripada tahun 1957-2007. Prestasi Pakatan adalah lebih baik dalam hanya tempoh 8 tahun berbanding 50 tahun di bawah BN.
Lebihan belanjawan ini membolehkan Kerajaan Negeri Pakatan membelanjakan lebih daripada RM412 juta dalam bentuk sumbangan wang tunai secara langsung kepada 1.6 juta rakyat Pulau Pinang untuk diberikan kepada warga emas, orang kelainan upaya (OKU) dan ibu tunggal sebanyak RM100, bayi yang baru dilahirkan (RM200), pelajar universiti (RM1,000), penarik beca (RM1,200), pemandu teksi dan bas sekolah (RM600).Isi rumah untuk miskin tegar juga diberi jaminan pendapatan asas sejagat sebanyak RM790 setiap bulan, bagi tahun 2017, pemilik hartanah diberi pengecualian 6% cukai pintu manakala pengecualian penuh cukai pintu diberikan kepada rumah kos rendah, kos sederhana rendah dan rumah-rumah kampung.
Jika BN mengambilalih kembali kuasa Pulau Pinang ia bermakna semua sumbangan kewangan yang dibayar akan jadi kering. Tambahan pula, peruntukan institusi tahunan kepada sekolah vernakular dan sekolah agama juga akan berakhir. Adakah kita mahu kembali kepada zaman buruk BN dahulu apabila sekolah-sekolah vernakular tidak akan menerima peruntukan tetap atau setiap tahun? Atau corak BN yang membayar peruntukan pada tahun 2016 dibayar lewat setahun? Rakyat tidak mahu sekolah-sekolah diabai dan didiskriminasi, sama seperti rakyat yang tidak mahu melihat Pulau Pinang jadi kotor di bawah BN sebelum tahun 2008, sehingga Kerajaan Negeri Pakatan membersihkan negeri ini.
Ingat, di bawah BN, Pulau Pinang tidak pernah dipuji sebagai bersih, hijau, selamat dan sihat. Begitu juga, Pulau Pinang tidak pernah disenaraikan oleh CNN ketika di bawah pemerintahan BN sebagai tempat kedua daripada keseluruhan 17 tempat yang paling baik dilawati di dunia. Kerajaan Negeri Pulau Pinang percaya bahawa rakyat akan memilih kerajaan yang mesra rakyat yang terbukti bersih dan cekap berbanding dengan kerajaan kroni yang hanya berminat dalam penyalahgunaan kuasa dan salah urus kewangan.