Skip to content

Tarif air untuk pengguna domestik adalah kekal tidak berubah

Saya kesal dengan beberapa laporan berita yang tidak tepat berikutan cadangan untuk menaikkan penalti kepada pengguna domestik yang membazir air atau menggunakan air secara berlebihan, telah salah dilaporkan sebagai kenaikan tarif air. Saya menegaskan bahawa di bawah cadangan ini, tarif air untuk pengguna domestik adalah kekal tidak berubah.

Pulau Pinang mempunyai rekod yang kurang baik dengan kadar penggunaan air domestik paling tinggi di negara ini iaitu sekitar 286 liter seorang setiap hari pada tahun 2016. Berbanding purata penggunaan kebangsaan hanya 209 liter seorang sehari, Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mencadangkan penggunaan sebanyak 165 liter dan penggunaan di Singapura adalah sebanyak 148 liter seorang setiap hari.

Penggunaan air domestik yang tinggi di Pulau Pinang adalah disebabkan oleh kadar air yang paling rendah dengan hanya purata 32 sen untuk 35,000 liter setiap pengguna sebulan berbanding RM1.32 di Johor (lebih daripada 4 kali lebih tinggi). Tarif air domestik adalah begitu rendah sehingga air dibazirkan. Penggunaan air domestik yang tinggi seperti ini adalah tidak mesra alam dan sukar didokong dalam aspek kewangan. Di samping itu, PBAPP perlu mengeluarkan subsidi sebanyak RM91 juta pada tahun 2016 bagi mengekalkan kadar air domestik yang paling rendah di Malaysia.

Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah menerima banyak kritikan daripada NGO (termasuk CAP S.M. Mohamed Idris dan Pengerusi Water Watch Profesor Dr Chan) kerana gagal memandang serius pemuliharaan air dan pelindungan alam sekitar, dengan sekurang-kurangnya menggandakan sekali ganda atau menaikkan tiga kali ganda kadar air domestik yang sedia ada. Jelas, usaha Kerajaan Negeri untuk mendidik orang ramai supaya tidak membazirkan air tetapi menjimatkan air telah gagal.

Walau bagaimanapun, Kerajaan Negeri tidak berhasrat untuk menggandakan atau menaikkan tarif air domestik sebanyak tiga kali ganda. Kami menggesa agar pihak NGO memberi Kerajaan Negeri satu lagi peluang untuk tidak menaikkan tarif air tetapi menaikkan penalti kepada mereka yang membazirkan air atau menggunakan air secara berlebihan. Pada masa ini, penalti telah dikenakan ke atas mereka yang membazir air atau menggunakan air secara berlebihan yang dipanggil Surcaj Pemuliharaan Air (WCS).

Pada masa ini, WCS yang dikenakan adalah sebanyak 48 sen untuk setiap tambahan 1,000 liter air yang digunakan melebihi 35,000 liter. WCS sebanyak 48 sen ini akan dinaikkan kepada RM1 untuk membendung pembaziran air atau penggunaan air secara berlebihan.

Pengguna dengan isi rumah yang besar juga akan dilindungi kerana mereka yang mempunyai 8 atau lebih ahli keluarga akan diberi diskaun sebanyak 60% ke atas caj WCS. Bilangan isi rumah yang besar (8 orang atau lebih ahli keluarga) adalah kecil kerana terdapat kurang daripada 1,000 isi rumah yang menikmati diskaun 60% daripada caj WCS.

Pulau Pinang bangga dengan rekod kami menjadi satu-satunya negeri dalam sejarah Malaysia yang tidak pernah mengenakan sebarang catuan air. Ini adalah disebabkan oleh pengurusan bekalan air yang cekap oleh PBAPP dengan memasang paip dan membina infrastruktur air. Bagi memastikan bahawa rekod tanpa catuan air dapat dikekalkan dalam tempoh 10 tahun dari sekarang, perlu ada pengurusan permintaan air yang cekap, bagi memastikan tiada pembaziran air atau penggunaan air yang berlebihan. Kita menggesa pengguna air domestik dapat membantu Kerajaan Negeri mencapai dasar tiada catuan air dengan tidak membazir air atau menggunakan air secara berlebihan.