Bahagian Perubatan Tradisional dan Komplementari (BPTK) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah pun mengeluarkan satu kenyataan melalui laman sesawang (http://tcm.moh.gov.my/ms/images/covid19/pengumuman_pkp.JPG) mengumumkan bahawa perkhidmatan PT&K (Perubatan Tradisional dan Komplementari) tidak dibenarkan beroperasi.
Kami berpandangan bahawa segala rawatan perubatan yang diiktiraf oleh KKM dan juga WHO (World Health Organisation), seperti Akupunktur (cucuk selar) perlu dibenarkan beroperasi, malah dikerahkan sebagai pelengkap kepada sistem kesihatan, khususnya pada ketika pandemik ini yang tengah memberi tekanan kepada hospital dan petugas perubatan barisan hadapan kita.
Pada 11 Januari 2006, Kerajaan telah mewujudkan unit PT&K untuk mengintegrasikan amalan PT&K terpilih dengan sistem penjagaan kesihatan kebangsaan. Sehingga Januari 2020, terdapat 15 buah hospital KKM yang menawarkan perkhidmatan PT&K di Malaysia. Antara perkhidmatan PT&K yang ditawarkan di hospital-hospital KKM adalah:Urutan Tradisional, Akupunktur, Terapi Herba sebagai Rawatan Tambahan Pesakit Kanser, Shirodhara, Terapi Basti Luaran dan Terapi Varmam.
Semenjak pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Bagi Mukim Ulu Kinta, pejabat saya telah menerima beberapa aduan dan permohonan daripada penduduk setempat berkaitan larangan pembukaan pusat rawatan akupunktur dan perubatan tradisional. Dengan pengumuman oleh KKM hari ini, dianggarkan pesakit yang menerima rawatan daripada kira-kira 15,000 pengamal PT&K, yang termasuk 6,500 pengamal perubatan tradisi cina, akan terputus rawatan mereka.
Para pengadu terdiri daripada pesakit kanser dan juga pesakit masalah buah pinggang yang mengalami gejala dan kesakitan yang kronik, yang memerlukan rawatan berterusan dan berkala bagi pengurusan kesakitan (pain management).
Setelah sesi libat-urus dengan Perubatan Tradisional Cina di Negeri Perak, iaitu PERSATUAN TABIB CINA PERAK, PERSATUAN SENSE DAN PERNIAGAAN UBAT CHINA PERAK, PERSATUAN RAWATAN CHUCHOK DAN SELAR NEGERI PERAK, terdapat juga ketidakpuasan hati serta kebimbangan dari kalangan pengamal perubatan dan rawatan alternatif dan pelengkap, khususnya terhadap larangan rawatan akupunktur seperti termaktub dalam SOP yang dikeluarkan oleh MKN dan KKM bahawa pengamal akupunktur tidak dibenarkan untuk beroperasi.
Perkhidmatan kesihatan merupakan aktiviti keperluan yang sangat penting, dimana sesetengah rawatan perlu diberikan secara berterusan demi mengurangkan kesakitan atau kesengsaraan pesakit terutamanya dalam rawatan sakit kronik (chronic pain), strok dan sebagainya. Larangan tersebut juga secara langsung telah menghadkan hak pesakit untuk mendapat rawatan yang sesuai.
Pandemik Covid19 telah berlanjutan lebih daripada setahun. Para pengamal perubatan yang menganggotai persatuan-persatuan yang dirujuk sudah membiasakan diri dengan pelaksanaan SOP yang amat ketat semasa menjalankan tugas demi melindungi semua pihak.
Tambahan lagi, saya dapat mengesahkan bahawa, kebanyakan para pengamal tersebut telah pun menerima dua suntikan vaksin. Ini sedikit-sebanyak boleh ditafsirkan sebagai bentuk pengiktirafan bahawasanya, mereka tergolong dalam barisan perkhidmatan perlu dan barisan hadapan. WHO juga telah memberikan pengiktirafan kepada akupunktur sebagai rawatan yang sahih, dan telah pun memulakan proses ‘benchmarking’ bermula tahun ini.
Saya juga berpendapat bahawa pesakit yang bergejala dan kesakitan kronik yang memerlukan dan biasanya mendapatkan rawatan akupunktur, sekiranya dapat meneruskan rawatan, berkemungkinan besar dapat mengelakkan ataupun mengurangkan penambahan beban ke atas jentera kesihatan dan perubatan kita, baik awam mahupun swasta.
Pihak kami ingin memohon supaya pihak KKM dan MKN dapat membantu menangani perkara yang dirujuk supaya rakyat jelata dari kawasan Kinta, khususnya yang bergejala dan kesakitan kronik, dibenarkan menerima akses kepada rawatan perubatan yang sesuai serta dipilih sendiri oleh mereka. Ini adalah hak pesakit, apatah lagi tentang soal kewajipan manusia untuk tidak melarang mana-mana manusia daripada mendapat kelegaan daripada kesihatan dengan cara yang tidak melanggar undang-undang.
Gesaan saya, mewakili semua pihak yang terlibat, adalah supaya SOP MKN dipinda supaya pusat rawatan PT&K yang berdaftar dibenarkan beroperasi, dengan syarat-syarat dan SOP yang tidak kurang samanya dengan klinik-klinik dan hospital perubatan arus perdana.
Saya menggesa supaya perkara yang dirujuk, rayuan para pengamal perubatan ini, serta keperluan dan harapan para pesakit yang terjejas, mendapat perhatian, pertimbangan dan tindakan susulan daripada MKN, KKM, Perdana Menteri, Menteri Kesihatan.
Bagi penggubal dasar dan pembuat keputusan di atas sana, perkara ini kemungkinannya nampak remeh pada mereka, dan bukannya keutamaan yang paling cemas dan masih boleh tunggu lagi; tetapi kepada para pesakit ini, setiap saat itu berharga dalam membunuh seksaan yang setiap detik memakan jiwa dan raga diri mereka.