Di seluruh Malaysia, kadar pendaftaran vaksin masih rendah, terutamanya kurang mendapat sambutan dari penduduk luar bandar.
Hal ini kerana ramai penduduk kampung berasa ragu-ragu dan tidak rela menerima vaksin. Selain itu, tidak menerima maklumat dan berita yang sahih berkenaan vaksin juga adalah salah satu sebab mereka enggan divaksin.
Dalam Mesyuarat Jawatankuasa Bencana Daerah Kluang dua hari yang lepas, saya telah mencadangkan pemberian suntikan vaksin di masjid dan surau.
Saya percaya ini dapat memberi impak seperti berikut:
- Mengurangkan keraguan rakyat terhadap suntikan vaksin. Apabila informasi daripada AJK masjid disalurkan dengan betul, maka rakyat pasti akan lebih faham akan kepentingan vaksin.
- Meningkatkan keyakinan rakyat terutamanya dari golongan muslim untuk mendapakan vaksin. Hal ini kerana terdapat berita palsu yang berleluasa di sosial media berkenaan vaksin adalah tidak halal. Justeru, dengan mengadakan pemberian vaksin di masjid maka vaksin tersebut adalah dijamin Halal.
- Meningkatkan kadar pemberian vaksin di Kluang. Apabila banyak masjid dan surau digunakan sebagai PPV sementara maka proses pemberian vaksin akan lebih pantas.
Di London, United Kingdom, Nuru Mohammed, imam masjid, mengatakan idea untuk mengubah ruang masjid menjadi klinik adalah untuk membantu orang-orang yang tidak “diberitahu” mengenai kempen vaksinasi, di tengah-tengah ketakutan dan maklumat palsu yang telah tersebar di kalangan masyarakat Muslim.
Beberapa kajian di UK menunjukkan bahawa keraguan vaksin lebih banyak berlaku di kalangan orang-orang dari latar belakang etnik minoriti, dengan ketakutan sebahagiannya disebabkan oleh ketidakpercayaan terhadap sistem kesihatan. Orang kulit hitam, Asia dan etnik minoriti Britain yang lain cenderung tidak menerima tawaran vaksin, kerana maklumat bertentangan tersebar di rangkaian media sosial dan di dalam beberapa komuniti.
Walau bagaimanapun, setelah pemberian vaksin dilakukan di masjid tersebut, ramai penduduk lebih positif dan lebih terbuka untuk menerima suntikan vaksin.
Justeru, cadangan ini dapat mengurangkan keraguan terhadap vaksin dan dapat meningkatkan kadar pendaftaran vaksin di Kluang dan dengan kerjasama pihak masjid dan surau melalui Jabatan Agama, kita dapat meningkatkan keyakinan dan agar penduduk lebih selesa untuk mendapatkan vaksin.