Skip to content

Tiga lagi penambahan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang bakal beroperasi bermula pada bulan Jun

Terdapat tiga (3) lagi penambahan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang bakal beroperasi bermula pada bulan Jun ini selain enam hospital swasta sebagaimana diumumkan menerusi kenyataan media saya semalam. Ini adalah Tapak Pesta Pulau Pinang bagi Daerah Timur Laut; SPICE Arena, Daerah Barat Daya dan Tapak Ekspo Seberang Jaya, Daerah Seberang Perai Tengah.

Serentak itu, tempoh masa operasi PPV juga akan dilanjutkan sehingga hari Sabtu (Isnin – Sabtu) dan jumlah suntikan sehari juga bakal ditingkatkan. Dalam pada itu, Pulau Pinang akan menggerakkan seluruh jentera sama ada daripada sumber kerajaan ataupun swasta bagi membolehkan proses suntikan imunisasi diselesaikan pada bulan Oktober 2021 sebagaimana pengumuman Kerajaan Persekutuan semalam.

Mesyuarat Jawatankuasa Khas Keselamatan Negeri (JKKN) Pulau Pinang – Perintah Kawalan Pergerakan Menangani Wabak COVID-19 sebentar tadi turut memutuskan beberapa pendekatan bagi membendung penularan kluster sektor-sektor perkilangan kini, iaitu:-

  1. Pihak majikan perlu menangguhkan proses pengambilan pekerja baru sekiranya terdapat kes positif aktif di kilang berkaitan;
  2. Mewajibkan saringan COVID-19 kepada semua pekerja baru;
  3. Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) cawangan Pulau Pinang perlu mengeluarkan prosedur operasi standard (SOP) pematuhan dan tindakan penutupan terhadap kilang-kilang sekiranya berlaku pengingkaran berdasarkan keseriusan kes.