Saya sangat gembira membaca laporan berita bahawa Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar telah memberkas tiga anggota polis peronda yang melakukan pemeriksaan tidak sah terhadap pekerja asing, yang kemudiannya diambil tindakan oleh pasukan polis setelah dilaporkan oleh Khalid pada hari Selasa lalu.
Khalid mesti dipuji untuk dua sebab: Pertama kerana memberi contoh kepada pasukan polis untuk tidak menutup kesalahan anggota polis lain dan mesti melaporkannya. Kedua kerana Khalid telah menyekolahkan seluruh negara, termasuk Sabah dan Sarawak bahawa polis peronda tidak boleh memeriksa dokumentasi pendatang asing.
Pun begitu, Bukit Aman masih perlu memberi penjelasan lanjut kepada orang ramai ekoran episod ini. Adakah anggota polis yang sedang meronda boleh melakukan pemeriksaan rawak ke atas warganegara, sekiranya mereka tidak boleh berbuat demikian terhadap pendatang asing?
Adakah orang ramai juga boleh melakukan apa yang telah dilakukan Khalid terhadap tiga anggota polis itu dengan meminta kad pengenalan polis dan bertanya sama ada mereka telah diberi kuasa untuk melakukan pemeriksaan tanpa risiko ditahan dan kemudiannya didakwa di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan berkenaan kesalahan menghalang penjawat awam daripada menjalankan tugasnya, yang membawa hukuman maksimum dua tahun penjara dan denda RM10,000?
Sudah menjadi kebiasaan di Malaysia khususnya di Kuala Lumpur untuk kita melihat anggota polis dengan pelbagai kenderaan, daripada kapcai sampailah kereta peronda, menahan dan membuat pemeriksaan ke atas individu, tidak kira warganegara atau bukan. Adakah Bukit Aman kini menyatakan bahawa kelaziman ini adalah suatu kesalahan? Anggota polis yang bagaimana sebenarnya diberi kuasa untuk melakukan pemeriksaan ke atas orang ramai, termasuk warga asing dan bagaimana untuk kita tahu bahawa tindakan itu adalah sah di sisi undang-undang?
Bukit Aman seharusnya menjalankan suatu taklimat berhubung isu ini kepada pihak media dan orang awam atas dasar ketelusan dan keadilan.