Skip to content

Cabaran kepada Menteri Dalam Negeri Datuk Zahid Hamidi untuk mendedahkan nama 3 dalang yang akan diekstradisi dari negara Thai yang terlibat dalam sindiket pemerdagangan manusia selepas penemuan 139 mayat di Wang Kelian, Perlis pada tahun 2015

Pada bulan Mei 2015, negara digegarkan dengan penemuan 139 mayat di 28 kem tahanan di Wang Kelian, Perlis yang dipercayai adalah mayat lelaki, wanita dan kanak-kanak yang menjadi mangsa sindiket pemerdagangan manusia daripada negara Thai ke Malaysia.

Empat orang anggota polis yang disyaki terlibat atau bersekongkol dengan sindiket pemerdagangan manusia telah ditahan dibawah Akta ATIPSOM (Anti-Trafficking in Persons and Smuggling of Migrants) dan POCA (Akta Pencegahan Jenayah). Keempat-empat anggota polis telah dibebaskan memandangkan tiada bukti terhadap dakwaan terlibat dalam aktiviti pemerdagangan dan penyeludupan orang.

Pada masa yang sama, Kementerian Dalam Negeri tiada apa-apa cadangan untuk mengeluarkan kertas putih berkenaan jenayah merentas sempadan ini.

Pada masa itu, Malaysia berada pada tahap 3 mengikut Laporan Tahunan mengenai Pemerdagangan Orang Amerika Syarikat atau Trafficking in Persons Report (TIPS) yang dikeluarkan oleh Jabatan Negara Amerika Syarikat.

Pada bulan Jun 2016, Malaysia telah dinaikkan ke tahap dua daripada tahap tiga, iaitu satu penambahbaikan dalam usaha dan komitmen sesebuah negara untuk melawan dan membanteras aktiviti dan sindiket pemerdagangan manusia di negara tersebut.

Pada 24 Julai 2017, mahkamah jenayah di negara Thai telah menyabit kesalahan terhadap 62 orang yang terlibat dalam sindiket pemerdagangan manusia yang merupakan kes pemerdagangan manusia yang terbesar di negara Thai. Penyabitan ini menghantar satu mesej yang jelas kepada sindiket pemerdagangan manusia bahawa jika didapati bersalah maka hukuman berat akan dikenakan tanpa mengira status atau pangkat.

Setahun selepas penambahbaikan atau ‘upgrade’ dari Tier 3 ke Tier 2, pada 1 Jun 2017, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah menyatakan bahawa Malaysia sedang dalam proses untuk mendapatkan 3 suspek utama dalam kes pemerdagangan manusia di Wang Kelian daripada negara Thai. Dalam laporan media, pada asalnya bilangan suspek yang terlibat adalah 10 orang tetapi selepas berbincang dengan Menteri Pertahanan Thai Jeneral Prawit Wongsuwan, 3 suspek utama ini merupakan jerung dan bukannya ikan bilis dalam sindiket pemerdagangan dan penyeludupan ini dan kini berada di penjara negara Thai.

Antara pegawai kerajaan yang disabitkan bersalah adalah:-

  • Lt. Jen. Manas Kongpan, bekas penasihat tentera (27 tahun penjara)
  • Bannajong Pongphol, bekas Datuk Bandar wilayah Narathiwat Padang Besar (penjara 78 tahun)
  • Prasit Lemleh, bekas Datuk Bandar daerah Padang Besar (78 tahun)
  • Pajuban Aungchotiphan, bekas pegawai tadbir wilayah Satun (75 tahun)

Persoalannya adalah siapakah 3 dalang dari negara Malaysia yang ‘berpangkat’ jerung dan mengapakah mereka tidak didakwa dan disabit di Malaysia? Adakah negara Malaysia kurang kepakaran dalam mengendalikan kes ini atau adalah lebih mudah melepaskan batuk di tangga dan menyerahkan mereka kepada mahkamah jenayah negara Thai untuk dibicarakan?

Memandangkan Zahid Hamidi kini, tidak terkilan mendedahkan maklumat peribadi mantan Perdana Menteri diatas platform politik dalam program UMNO dengan niat mengaibkan Tun Mahathir, maka kami mencabar adakah beliau untuk mendedahkan nama-nama 3 suspek pemain utama sindiket pemerdagangan manusia di Wang Kelian 2 tahun lepas.

Tiada gunanya berucap kencang dalam nada menyindir terhadap seseorang yang latarbelakangnya India, tetapi diam membisu dalam mendedahkan nama jerung besar dalam sindiket penyeludupan ini. Sudah masuk 2 bulan selepas kenyataan Datuk Seri Zahid Hamidi mengekstradisi 3 suspek ini namun, tiada apa-apa perkembangan selanjutnya selepas pengumuman itu.

Penambahbaikan dan kenaikan dari tahap Tier 3 kepada Tier 2 dalam Laporan Tahunan mengenai Pemerdagangan Orang Amerika Syarikat haruslah dicerminkan melalui usaha yang realistik dan efektif dan bukan sahaja dengan mendabik dada dan menghadiri persidangan antarabangsa dalam usaha membanteras jenayah ini.

Maka, kami berharap Menteri Dalam Negeri Datuk Zahid Hamidi akan menyahut cabaran kami untuk mendedahkan nama 3 dalang yang akan diekstradisi dari negara Thai yang terlibat dalam sindiket pemerdagangan manusia selepas penemuan 139 mayat di Wang Kelian, Perlis pada tahun 2015 dan menyatakan mengapa ketiga-tiga penjenayah ini tidak didakwa dan dibicarakan di negara Malaysia?