Skip to content

Cabaran mahkamah terhadap tindakan kejam yang tidak berperlembagaan Menteri Besar Kedah untuk mengurangkan bekalan air secara tidak sah di Sungai Muda dan memaksa 1.8 juta rakyat Pulau Pinang meminum air selut

DAP menyokong penuh sebarang tindakan mahkamah oleh kerajaan negeri Pulau Pinang bagi mencabar tindakan kejam tidak berperlembagaan Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor untuk mengurangkan bekalan air di Sungai Muda secara tidak sah dan memaksa 1.8 juta rakyat Pulau Pinang untuk minum air selut. Muhammad Sanusi telah mengumumkan projek tadahan air di tepi sungai yang boleh menyebabkan Sungai Muda kering di hujung selatannya di Pulau Pinang, sehingga memberi kesan terhadap bekalan air yang menyediakan 80% keperluan air Pulau Pinang.

Muhammad Sanusi mengatakan bahawa projek Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS), didanai oleh Kementerian Alam Sekitar dan Air, terdiri dari sekatan atau penghalang untuk “menstabilkan” paras air sungai. Dia mengatakan bahawa 14 TAPS akan dibina di lokasi yang berbeza, dengan kedalaman hingga 20 meter hingga 30 meter dan selebar satu kilometer.

Walaupun Muhammad Sanusi mengatakan bahawa kemungkinan rakyat Pulau Pinang meminum air selut hanyalah peringatan awal, ini jelas merupakan ancaman olehnya untuk membuli dan memaksa Pulau Pinang membayar caj air mentah kerana menggunakan Sungai Muda di pinggir sungai sebelah negeri Pulau Pinang. Muhammad Sanusi tidak bertanggungjawab kerana menggunakan taktik membuli seperti itu, kerana membayar air di dalam sempadan Pulau Pinang adalah tidak sah dan tidak berperlembagaan.

Pertama, pelbagai perjanjian antara kedua-dua negeri dan juga Akta Perubahan Sempadan 1985 bagi Kedah dan Pulau Pinang telah memuktamadkan sempadan-sempadan yang telah diubah antara kedua-dua negeri utara ini. Selain dari Akta ini, doktrin undang-undang hak-hak riparian termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Jadual Kesembilan (Daftar Perundangan) menyenaraikan air, kawalan kelodak dan hak riparian adalah di bawah kuasa Negeri.

Seorang pemilik riparian, sama ada pemilik tanah atau negeri seperti Pulau Pinang, memiliki hak yang tidak boleh dinafikan untuk menggunakan dan mengekstrak dari Sungai Muda ketika ia mengalir di dalam sempadan Pulau Pinang, di mana aliran sungai tidak boleh dimanipulasi, diubah atau dijajar semula secara tidak semula jadi. Hasrat Muhammad Sanusi untuk mengurangkan bekalan air di Sungai Muda, pasti akan dicabar di mahkamah untuk menegaskan semula prinsip perlembagaan bahawa Pulau Pinang berhak menerima aliran air semula jadi dalam kuantiti dan kualiti yang biasa.

Muhammad Sanusi tidak boleh melupakan tugas undang-undangnya untuk TIDAK mengganggu dan mengusik aliran air Sungai Muda dan hak-hak riparian Pulau Pinang. Sekiranya Muhammad Sanusi meneruskan ancamannya, maka Pulau Pinang sebagai pemilik riparian boleh meminta ganti rugi atas segala gangguan yang mencemarkan, mempengaruhi kualiti dan kuantiti air di Sungai Muda.

Apa yang mengejutkan ialah Kerajaan Persekutuan bersekongkol dengan Menteri Besar Kedah untuk melanggar dan merampas hak-hak rakyat Pulau Pinang. Oleh kerana Menteri yang bertanggungjawab dan Menteri Besar Kedah adalah dari parti politik yang sama, adakah ini satu lagi tindakan balas dendam politik terhadap Pulau Pinang yang ditadbir oleh Pakatan Harapan?

Daripada menasihati Muhammad Sanusi agar mematuhi undang-undang dan peruntukan perlembagaan, Kerajaan Persekutuan memilih untuk bersubahat dengan Muhammad Sanusi untuk membuli Pulau Pinang sehingga memaksa 1.8 juta rakyat Pulau Pinang untuk minum air selut. Ini adalah tindakan kejam dan tidak berperikemanusiaan terhadap sesama rakyat Malaysia dan akan dikecam bukan hanya oleh rakyat Malaysia tetapi juga oleh sejarah.

Tindakan mahkamah akan difailkan secara sekeras-kerasnya terhadap Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi dan Menteri Alam Sekitar dan Air, Tuan Ibrahim Tuan Man demi melindungi bekalan air ke Pulau Pinang dan untuk tidak membenarkan 1.8 juta rakyat Pulau Pinang daripada minum air selut.