Skip to content

Cadangan perkhidmatan TRAM – satu lagi projek gajah putih di Melaka?

Beberapa hari yang lepas dilaporkan di media bahawa kerajaan negeri Melaka bercadang untuk memperkenalkan perkhidmatan tram di bandaraya Melaka. Perkara ini dibincangkan semasa perjumpaan Menteri Pengangkutan iaitu Wee Ka Siong dengan Yang di-Pertua negeri Tun Seri Setia Mohd Ali Rustam.

Cadangan tram ini merupakan sebuah projek infrastruktur besar yang akan melibatkan kos yang amat tinggi. Namun, cadangan projek ini amat membimbangkan kerana tidak berlandaskan sebarang kajian teknikal dan kebolehlaksanaan.

Tidak ada maklumat terperinci mengenai cadangan projek ini. Di manakah lokasi pembinaan landasan tram ini? Berapakah kos yang terlibat? Bagaimanakah ia akan dibiayai? Adakah bandar Melaka mempunyai kepadatan yang cukup untuk mewajarkan kelangsungan perkhidmatan tram ini?

Para penduduk dan pemegang taruh yang lain tidak dilibatkan dalam cadangan ini walaupun ia akan memberi kesan yang besar kepada mereka.

Tidak dinafikan bahawa negeri Melaka mengalami masalah kesesakan jalan raya yang amat serius, terutamanya di kawasan. Pembangunan-pembangunan awam amat dialu-alukan untuk mengatasi masalah ini, namun ia haruslah berlandaskan perancangan yang sesuai.

Di Melaka, perkhidmatan asas seperti bas awam pun telah gagal dibangunkan oleh kerajaan negeri sehingga syarikat bas berhutang dan bas-bas terbengkalai. Ketika kerajaan Pakatan Harapan memerintah pada tahun 2018, kami telah berusaha untuk membangunkan perkhidmatan bas percuma dengan kadar penggunaan 16,000 orang sebulan. Jumlah bas awam pula ditingkatkan kepada 40 buah.

Semasa zaman pemerintahan BN, ada projek monorel yang nyata telah gagal berulang-kali. Sehingga hari ini, landasan monorel yang gagal ini masih dapat dilihat di sekitar kawasan bandar Melaka. Ia seolah-olah telah menjadi besi buruk terbengkalai yang menyakitkan mata. Adakah projek tram ini bakal menghadapi nasib yang sama?

Tidak dilupakan juga baru-baru ini ada cadangan untuk membina terowong dasar laut dari Melaka ke Indonesia, dan juga projek pembinaan taman tema “biawak” yang akan menelan perbelanjaan RM8 juta.

Kerajaan negeri harus mengurangkan ketaksuban terhadap projek-projek “mega” yang bersifat “gajah putih ini”. Kerajaan haruslah fokus kepada keperluan dan kesejahteraan asas penduduk tempatan.