Menteri Kesihatan digesa supaya menubuhkan sebuah jawatankuasa inkuiri khas berhubung insiden kematian seorang doktor pelatih yang bertugas di Hospital Pulau Pinang (HPP) baru-baru ini.
Penubuhan inkuri berkaitan adalah penting bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian tersebut dan mengelakkan kisah sedih serupa berulang lagi terutamanya melibatkan doktor-doktor pelatih di negara ini.
Pada dasarnya, Kementerian Kesihatan (KKM) dan pihak-pihak berkenaan perlu segera tampil menjelaskan kejadian yang berlaku, dan pada masa sama mengkaji serta merombak semula sistem pengurusan sedia ada sekiranya perlu terutamanya membabitkan tempoh masa penugasan doktor-doktor di institusi-institusi perubatan kini.
KKM tidak wajar berdiam diri dan membiarkan perkara ini berterusan. Strategi serta jalan penyelesaian yang wajar adalah perlu disegerakan demi jaminan sistem perubatan negara kita secara menyeluruh.