Saya ada sebab untuk percaya bahawa calon Barisan Nasional (BN) telah melanggar undang-undang pilihan raya di kawasan DUN N.23 Bukit Semuja.
Pagi semalam, kami mendapat aduan daripada penduduk tempatan bahawa poster calon BN dengan simbol pangkah (X) logo Barisan Nasional telah menggunakan gambar foto calon yang tidak bertanding di kawasan DUN Bukit Semuja.
Gambar dalam poster calon tersebut ialah Tan Sri Adenan Satem, calon BN DUN N03 Tanjong Datu. Calon BN DUN Bukit Semuja ialah John Ilus, dan gambar beliau tidak ada dalam poster tersebut.
Pihak kami telah membuat satu laporan rasmi tentang perlanggaran undang-undang tersebut oleh calon BN dengan Pegawai Pengurus (Returning Officer) Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di Pejabat Daerah Serian pada jam 4.30pm, 28 April 2016.
Saya menggesa agar SPR bertindak adil, menyiasat dan mengambil tindakan tegas pada kadar segera dalam hal ini.
Kami juga menggesa agar SPR menurunkan poster-poster yang melanggar undang-undang tersebut dengan secepat mungkin.
Adenan Satem sendiri tidak yakin dengan calon-calon BN
Di samping melanggar undang-undang pilihan raya, kami percaya tindakan Barisan Nasional itu bertujuan untuk mengelirukan pengundi di Bukit Semuja.
Calon BN Bukit Semuja dipercayai tidak popular dan tidak mendapat sambutan rakyat setempat. Justeru, BN terpaksa menggunakan taktik mengelirukan pengundi bagi meraih undi untuk beliau.
Barisan Nasional telah mengumumkan bahawa pilihan raya negeri Sarawak kali ini ialah pilihan raya untuk memilih Adenan Satem sebagai Ketua Menteri. Jelas, Adenan Satem tidak ada keyakinan terhadap calon-calon Barisan Nasional yang lain sehingga terpaksa mempergunakan populariti beliau sebagai Ketua Menteri untuk berkempen bagi pihak mereka.
Mengapa BN tidak meletakkan calon yang lebih berwibawa dan diterima oleh rakyat setempat sehingga terpaksa bergantung kepada taktik mengelirukan pengundi seperti di Bukit Semuja?
Adakah ini bermakna, jika menang sekalipun, calon-calon BN ini tidak mampu untuk berkhidmat untuk rakyat di DUN yang mereka bertanding?
Jika tidak berani letak gambar, sudah tentu tidak berani lawan GST dan UMNO
Pilihan raya negeri Sarawak kali ini bukan untuk rakyat Sarawak pilih Adenan Satem menjadi Ketua Menteri. Beliau tetap akan menjadi Ketua Menteri selepas pilihan raya.
Sebaliknya pilihan raya negeri Sarawak kali ini ialah untuk rakyat Sarawak pilih sama ada “Nak GST” ataupun “Tak Nak GST”.
Jika calon-calon Barisan Nasional tidak berani letak muka mereka semasa berkempen, sebaliknya bersembunyi di belakang poster Ketua Menteri Adenan Satem, sudah tentu mereka tidak akan berani melawan GST dan dasar-dasar menindas rakyat oleh UMNO dan Barisan Nasional.