Skip to content

Capai lebih 35,000 suntikan harian Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) beroperasi bagi pemantauan kes positif

Kadar vaksinasi harian bagi negeri Pulau Pinang pada 12 Ogos 2021 adalah berjumlah 35,688 dos iaitu rekod pencapaian tertinggi sehingga kini. Berdasarkan rekod ini, kita percaya bahawa Pulau Pinang berada di landasan yang betul bagi mencapai matlamat ditetapkan iaitu 100 peratus populasi dewasa menerima suntikan dos pertama menjelang minggu pertama bulan September 2021 atau pada tempoh lebih awal.

Pada Mesyuarat Jawatankuasa Khas Keselamatan Negeri (JKKN) Pulau Pinang – Pengurusan COVID-19 pagi ini, mesyuarat bersetuju untuk Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Pulau Pinang membawa pendirian Pulau Pinang ke peringkat Pusat berhubung prosedur operasi standard (SOP) dine-in bagi pemilik dan pekerja restoran/pemilik premis menerima sekurang-kurangnya satu suntikan dos vaksin sebelum dibenarkan beroperasi.

Dalam pada itu, Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) turut berkongsi pelan penyusunan kemudahan perubatan bagi menghadapi peningkatan laporan kes harian kini, antaranya:-

  1. Pertambahan katil untuk pesakit COVID-19 yang mana Kompleks Masyarakat Penyayang bakal dijadikan sebagai Pusat Rawatan Risiko Tinggi (PRRT) dengan penempatan 100 buah katil bagi menempatkan pesakit Kategori 3 dan Kategori 4;
  2. Jaminan pembekalan tangki oksigen yang mencukupi bagi keperluan pesakit, dan setiap isi rumah adalah digalakkan untuk memiliki ‘pulse oximeter’ yang dapat dibeli secara dalam talian dan juga farmasi-farmasi terdekat;
  3. Menambah baik serta meningkatkan sistem pengesanan kontak bagi memastikan rantaian perebakan dapat diputuskan pada kadar sesegera mungkin;
  4. Pautan khas, https://forms.gle/1PSgwdPA5L32ugxy7 oleh Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC) JKNPP yang mana individu dengan keputusan positif COVID-19 boleh membuat laporan bagi tindakan pihak-pihak berkaitan;
  5. Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) di Hotline 04 – 382 7143 / 04 – 3827142 beroperasi pada setiap hari dari jam 8 pagi hingga 10 malam bagi pemantauan kes-kes positif yang diletakkan di bawah pemantauan di rumah.