Skip to content

Cheng Chau Yang dan anaknya memerlukan bantuan segera Kementrian Luar Negeri

Seorang ibu berwarganegara Malaysia, Cheng Chau Yang diberikan hak penjagaan terhadap cahaya matanya selepas bercerai dengan suaminya (warganegara China) di mahkamah China. Namun begitu, Cheng dan anaknya disekat daripada meninggalkan negeri China atas arahan mahkamah untuk menjamin hak bekas suami Cheng untuk melawat anaknya.

Kedua-dua Cheng dan anaknya adalah warga Malaysia, tetapi malangnya mereka “ditahan” di negeri China untuk tempoh hampir dua tahun. Mereka berhasrat untuk menziarahi ahli-ahli keluarga yang berada di Malaysia, terutamanya nenek Cheng yang kini berusia 94 tahun dan sedang sakit tenat.

Pada minggu yang lalu, saya telah menghantar Soalan dalam Parlimen meminta Menteri Luar Negeri, Dato’ Sri Anifah Aman untuk menjelaskan apakah tindakan susulan Kementerian Luar Negeri (KLN) terhadap kes ini. Soalan saya tidak dimasukkan ke aturan urusan mesyuarat pada hari persidangan 3hb Ogos, keadaan ini amat dikesali kerana pertanyaan yang melibatkan hak dan kepentingan warga Malaysia di luar negeri telah terpinggir.

Kerajaan Malaysia, terutamanya KLN, perlu mempercepatkan perundingan dengan negeri China supaya tidak menyekat hak Cheng dan anaknya untuk meninggalkan negeri China. Kedua-dua kerajaan Malaysia dan China bertanggungjawab untuk menyelaraskan masalah Cheng dan bekas suaminya berkenaan hak lawatan terhadap anak.

Cheng tidak sepatutnya menghadapi sekatan perjalanan sebegini, bahkan dia tidak mempunyai apa-apa rekod jenayah di China. Sebaliknya, Cheng terpaksa berpisah dengan anaknya selama 820 hari kerana bekas suaminya menyembunyikan anak mereka. Cheng pernah minta bantuan pihak mahkamah dan polis, tetapi kedua-dua institusi negeri China itu gagal untuk menolongnya.

Akhirnya, pada Oktober 2015 Cheng dapat menemui anaknya, tetapi disekat daripada meninggalkan negeri China pula, sehingga hari ini.

Walaupun bekas suami Cheng mengingkari keputusan mahkamah yang memberikan hak penjagaan kepada Cheng, tiada sebarang tindakan yang diambil terhadap bekas suaminya.

Saya berharap Yang di-Pertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia boleh dapat mempertimbangkan pertanyaan pada Waktu Pertanyaan Menteri bagi hari persidangan 8hb atau 10hb Ogos. Kerajaan perlu melaporkan perkembangan dan tindakan susulan yang diambil terhadap kes ini kepada ahli-ahli Parlimen dan Rakyat Malaysia. Cheng masih menunggu janji dan komitmen kerajaan.

Saya menyeru orang ramai menyebarkan kes ini untuk memberi tekanan terhadap kerajaan China untuk membatalkan sekatan perjalanan Cheng dan anaknya. Kerajaan Malaysia dan China perlu berhubung dan berunding antara sama lain untuk menjaga hak dan kepentingan kedua-dua pihak warganegara Malaysia dan China.