Kerajaan Negeri Pulau Pinang berharap agar projek-projek menaiktaraf hospital dan klinik-klinik kesihatan di negeri Pulau Pinang yang telah dijanjikan oleh Kementerian Kesihatan akan dilaksanakan secepat yang mungkin dan tidak akan mengalami sebarang kelewatan seperti mana janji yang pernah dibuat oleh Ahli Parlimen Balik Pulau, Dato’ Seri Dr. Hilmi Haji Yahya kepada SJKC Yu Chye di Sungai Pinang, Balik Pulau pada tahun 2015 di mana beliau telah berjanji akan memberikan peruntukan sebanyak RM200,000 tetapi sehingga hari ini masih tidak direalisasikan dan hanya tinggal janji kosong.
SOALAN NO : 60
PEMBERITAHUAN PERTANYAAN DEWAN RAKYAT
JAWAPAN OLEH YB DATUK SERI DR. S. SUBRAMANIAM
MENTERI KESIHATAN MALAYSIA
PERTANYAAN : LISAN
DARIPADA : YB TUAN LIM GUAN ENG [BAGAN]
TARIKH : 31 JULAI 2017
SOALAN : 60
YB Tuan Lim Guan Eng [Bagan] minta MENTERI KESIHATAN menyatakan tentang jumlah dan nilai projek-projek pembesaran Hospital Besar Pulau Pinang, Bukit Mertajam, Seberang Jaya dan Balik Pulau serta klinik-klinik kesihatan di Pulau Pinang, dan mengapa sehingga kini ia tidak diluluskan untuk menangani kesesakan. Adakah pemberian ubat dilambatkan dalam kaedah baru.
Tuan Yang di-Pertua,
Di bawah RMK 11, bagi Hospital Pulau Pinang (HPP), terdapat satu (1) projek naik taraf sedang dilaksanakan dengan kos RM13.99 juta dan terdapat empat buah lagi projek yang sedang dirancang iaitu Menaiktaraf Perkhidmatan Transplan HPP (RM6 juta), Blok Wanita dan Kanak-kanak HPP (RM296.9 juta), kerja awalan Blok Klinik Pakar dan Wad Hospital HPP (RM20 juta) dan Kuarters HPP (RM75 juta).
Bagi Hospital Seberang Jaya (HSJ), terdapat dua (2) buah projek pembangunan yang sedang berjalan iaitu Projek Naiktaraf HSJ (RM17.8 juta) dan Multistorey Block HSJ (RM486.2 juta). Kementerian ini turut ingin memaklumkan bahawa Projek Naiktaraf Jabatan Kecemasan dan Pesakit Luar, Hospital Balik Pulau (RM22.5 juta) telah dibuat tawaran tender pada 15 Mei 2017 dan SST akan dijangka dapat dikeluarkan pada bulan September 2017. Hospital Bukit Mertajam pula akan dilaksanakan projek menaiktaraf sistem penghawa dingin berpusat di dewan bedah dan sistem bekalan elektrik yang melibatkan kos RM7 juta.
Manakala bagi projek pembinaan klinik kesihatan di Pulau Pinang, KKM telah meluluskan pelaksanaan dua (2) buah projek iaitu Klinik Kesihatan (jenis 2) Bandar PERDA, Seberang Perai Tengah dengan kos RM30 juta dan Klinik Kesihatan (Jenis 3) Air Putih, Barat Daya dengan kos RM30 juta.
Bagi perkara berkenaan kelewatan dalam pemberian ubat dilambatkan dalam kaedah baru, dimaklumkan Kementerian ini tidak membuat sebarang perubahan ke atas prosedur pemberian ubat kepada pesakit di fasiliti farmasi KKM.