Merujuk kepada kenyataan Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), YB Sdr. Khairy Jamaluddin bahawa warga emas yang berusia 60 tahun ke atas boleh menerima suntikan vaksin secara walk-in di seluruh negara bermula pada minggu hadapan dan CITF Negeri perlu memaklumkan kepada umum senarai Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang melaksanakan kaedah walk-in tersebut.
Kami menyambut baik inisiatif tersebut dan menggesa agar CITF Johor segera mengemukan pelan PPV walk-in tersebut yang bakal memberi manfaat kepada kumpulan warga emas di negeri Johor.
Gesaan ini dibuat susulan terdapat warga emas yang dikenalpasti tercicir daripada menerima suntikan di bawah PICK sementara individu dewasa di bawah 60 tahun pula telah mula mendapat maklum balas suntikan vaksin sejak minggu lepas.
Berdasarkan data daripada Jabatan Kesihatan Negeri Johor pada 25hb Julai, terdapat lebih kurang 380 ribu warga emas telah menerima suntikan vaksin, namun masih terdapat lebih kurang 50 ribu orang (11.4%) warga emas masih menunggu maklum balas vaksinasi. Manakala kadar suntikan vaksinasi bagi warga emas pula menyaksikan daerah Johor Bahru dan Kulai mencatatkan peratusan yang rendah berbanding daerah lain.
Pembukaan PPV baru di Johor Bahru, Kulai, Batu Pahat, Tangkak dan Labis dilihat dapat mengatasi masalah kekurangan fasiliti manakala PPV bergerak yang diwujudkan di Johor Utara pula mampu menangani masalah akses dan jarak PPV dan masyarakat.
Kes harian COVID-19 di negeri Johor kini telah mencecah lebih seribu kes secara berterusan selama enam (6) hari dengan menyaksikan keadaan di Johor Utara bertambah buruk susulan penularan ‘Kluster Persiaran Agas’. Kluster tersebut telah menjadikan negeri Johor di tahap serius sepertimana negeri Selangor dan WP Kuala Lumpur.
Kerajaan perlu mempercepatkan vaksinasi terutama golongan yang bersiko tinggi bagi menurunkan kes kritikal dan dan kes kematian.
Justeru itu, kami menggesa agar CITF Johor mengemukakan Pelan Vaksinasi Secara Walk-In dengan segera dan memastikan sekurang-kurangnya dua (2) PPV di setiap daerah menggunapakai kaedah walk-in untuk memenuhi keperluan golongan berisiko tinggi yang tercicir mendapat suntikan dos pertama secepat mungkin sekali gus dapat mengurangkan risiko jangkitan.
Khairy turut menekankan matlamat vaksinasi harian di negeri Johor untuk mencapai 50 ribu suntikan dos pada bulan lalu namun masih belum tercapai. Malah, sebahagian PPV di bandar kecil seperti di Pagoh dan Labis juga selalu tidak beroperasi. Oleh itu, CITF Johor perlu memberi perhatian segera terhadap situasi sedemikian.
Kami menyambut baik usaha Kerajaan meningkatkan kadar vaksinasi sehingga 70 ribu dos berbanding 35 ribu dos sehari. Langkah tersebut sememangnya dinantikan dan dalam konteks Johor, ia dapat membantu rakyat Johor segera bangkit daripada kesan buruk akibat wabak COVID-19.
Tan Hong Pin
ADUN SKUDAI
Tan Chen Choon
ADUN JEMENTAH
Ng Yak Howe
ADUN BENTAYAN
Yeo Tung Siong
ADUN PEKAN NENAS
Ee Chin Li
ADUN TANGKAK
Chong Chee Wai
PENGERUSI DAP TAMAN MEGAH, BATU PAHAT
Cheng Chin Fatt
KETUA PENYELARAS TASK FORCE VAKSIN MERSING