Skip to content

PAC perkenalkan mesyuarat pra prosiding bagi Ketua Audit Negara menjelaskan perkembangan terkini mengenai isu yang disiasat

Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) memperkenalkan Mesyuarat Pra Prosiding bagi membolehkan Ketua Audit Negara memberikan penjelasan
perkembangan terkini isu-isu yang disiasat di bawah Laporan Ketua Audit Negara (LKAN).

Pengenalan mesyuarat itu yang bermula hari ini, dengan Datuk Nik Azman Nik Abdul Majid memberikan penjelasan terkini terhadap prosiding membabitkan Amanah Raya Berhad di bawah Kementerian Kewangan serta prosiding berhubung Aktiviti Kawalan Keselamatan dan Penguatkuasaan Zon Maritim Malaysia.

Isu Amanah Raya Berhad dilaporkan dalam LKAN 2019 Siri 1 yang dibentangkan di Parlimen pada 7 November 2020 manakala isu Aktiviti Kawalan
Keselamatan dan Penguatkuasaan Zon Maritim Malaysia dibentangkan di Parlimen pada 14 Julai 2020.

Melalui mesyuarat ini, ahli-ahli PAC diberikan gambaran jelas serta perkembangan terkini berhubung prosiding yang akan diadakan sekali gus
memastikan segala fakta serta maklumat yang diperoleh Jawatankuasa ini sentiasa tepat.

Dalam prosiding Amanah Raya Berhad, sebuah syarikat Menteri Kewangan Diperbadankan di bawah Kementerian Kewangan, Datuk Asri Hamidon hadir bersama Encik Azmeen Adnan hadir bagi memberikan penjelasan terhadap segala isu yang dibangkitkan LKAN 2019 Siri 1.

Manakala dua saksi dipanggil bagi prosiding berhubung Aktiviti Kawalan Keselamatan dan Penguatkuasaan Zon Maritim Malaysia iaitu Datuk Jamil Rikon, Timbalan Ketua Setiausaha Kanan, Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab terhadap Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta Datuk Wan Dahlan Abdul Aziz, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang mengawal selia Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Polis Marin memberikan penjelasan berhubung isu-isu yang dibangkitkan Ketua Audit Negara.

Saya berkeyakinan dengan pengenalan mesyuarat pra prosiding ini, ia akan menjadikan urus tadbir PAC lebih tersusun selain memastikan kredibiliti dan integriti Jawatankuasa sentiasa dihormati semua kementerian, jabatan dan agensi Kerajaan.

Kedua-dua laporan mengenai Amanah Raya dan Aktiviti Kawalan Keselamatan dan Penguatkuasaan Zon Maritim Malaysia dijangka dapat dibentangkan di Parlimen dalam sesi persidangan Oktober akan datang selepas PAC memuktamadkan rumusan dan cadangannya.