Skip to content

Tuntutan perlembagaan bagi perkenan diraja adalah pembaziran masa menurut Zuraida

Apabila satu pembohongan cuba diperbetulkan dengan pembohongan yang lain, ia hanya menjadikannya dua kali ganda lebih teruk. Dan apabila pembohongan tersebut diungkapkan oleh seorang Menteri di Dewan Rakyat yang mulia atas dasar hanya mahu mempertahankan kuasa, tindakan tersebut adalah satu pengkhianatan besar terhadap asas kenegaraan yang kita sama-sama sanjungi.

Bukan sukar untuk sesiapa sahaja yang mempunyai pemahaman paling asas mengenai Perlembagaan Persekutuan atau mempunyai akses kepada berita untuk mengetahui bahawa Perkenan Diraja diperlukan bagi pembatalan mana-mana Ordinan Darurat. Satu-satunya jalan lain untuk pembatalan adalah melalui pembentangan usul yang diluluskan oleh kedua-dua Dewan Rakyat dan Dewan Negara dan usaha tersebut terhalang dengan keputusan kerajaan untuk menutup Parlimen.

Maka, apabila diumumkan keputusan pembatalan darurat yang jelas di luar bidang kuasa kabinet di Dewan Rakyat bukan sekadar menghina, malah menyalahi undang-undang. Tambahan pula, ia boleh dilihat sebagai percubaan untuk merampas fungsi dan kuasa Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang telah termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan. Lebih buruk lagi, keadaan ini adalah pelanggaran secara terang-terangan terhadap prinsip-prinsip asas demokrasi dan sistem raja berperlembagaan.

Adalah sangat tidak masuk akal bahawa apabila seorang Menteri Kabinet mengeluarkan kenyataan mengenai keperluan kepada Perkenan Diraja sebagai sebagai ‘membuang masa’ secara langsung di kaca televisyen. Kenyataan sebegini merupakan satu penghinaan terhadap Perlembagaan Persekutuan dan KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. Sudahlah Parlimen dipesongkan dek pengisytiharan pembatalan semua Ordinan Darurat oleh seorang Menteri Undang-Undang, kini Zuraida secara terang-terangan menghina Ketua Negara kita dengan kenyataan yang amat biadab.

Sekiranya Zuraida terlalu mabuk dibuai kuasa sehingga tidak sedari apa yang salah dengan kenyataan Takiyuddin dan pembatalan kesemua Ordinan-Ordinan Darurat oleh kabinet Perikatan Nasional ini, beliau perlu mengundurkan diri. Amat malang sekali apabila beliau sendiri telah mengkhianati sumpah jawatan sebagai seorang Ahli Parlimen untuk memelihara, melindungi dan mempertahankan Malaysia dan Perlembagaannya. Sebaliknya, beliau memilih untuk memelihara, melindungi dan mempertahankan tipu daya dan kesalahan yang dilakukan oleh rakan kabinetnya dan Kerajaan Perikatan Nasional.

Biarpun jelas pelanggaran undang-undang telah dilakukan oleh Zuraida dan Kerajaan Perikatan Nasional ini terhadap Perlembagaan Persekutuan dan Parlimen, beliau masih berkeras bahawa tiada sebarang kesalahan yang dibuat. Cukup-cukuplah dengan mencipta pelbagai alasan bodoh dan berhentilah dari terus mencemarkan sistem demokrasi ini. Jangan lari dari kenyataan, buka semula parlimen; boleh tengok langit tinggi rendah. Kalau berani, benarkan demokrasi dan kedaulatan undang-undang kembali berfungsi dengan sewajarnya.

Dan sekiranya beliau dan rakan-rakan sejawatannya punyai secebis rasa hormat, adab dan kejujuran, letakkanlah jawatan.