Kerajaan Negeri Pulau Pinang bersedia dan telah menggerakkan keseluruhan jentera di negeri ini bagi menjayakan Pelan Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Fasa 2 membabitkan kumpulan berisiko tinggi yang dijangka bermula pada April 2021.
Ini adalah bertepatan dengan pengumuman sebelum ini yang mana Kerajaan Negeri telah memperuntukkan RM2 juta di bawah Pakej Bantuan Rakyat Pulau Pinang 3.1 bagi memenuhi keperluan bantuan peralatan kesihatan di Pusat-pusat Pemberian Vaksin (PPV) khususnya. Pendekatan berkaitan adalah sebagai inisiatif tambahan sementara menunggu kelulusan peruntukan dimohon daripada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) yang merupakan pengelola utama pelaksanaan Pelan Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.
Secara keseluruhan, bagi Fasa 2, Kerajaan Negeri menerusi Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 atau COVID-19 Immunisation Taskforce (CITF) Peringkat Negeri Pulau Pinang telah mengenal pasti PPV membabitkan kelima-lima daerah di negeri ini.
Mesyuarat Jawatankuasa Khas Keselamatan Negeri (JKKN) Pulau Pinang – Pengurusan Pandemik COVID-19 yang berlangsung secara sidang video pada pagi ini telah berkongsi beberapa makluman dan memutuskan beberapa ketetapan sebagaimana berikut:-
- Kes-kes harian yang dilaporkan bagi negeri Pulau Pinang kini masih tidak konsisten termasuk kadar kebolehjangkitan atau R-naught (R-t) masih lagi melebihi kadar kebangsaan. Sehingga 8 Mac 2021, Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) menyatakan bahawa terdapat 17 kluster yang berada di bawah pemantauan. Di negeri Pulau Pinang, pekerja industri/kilang mencatatkan peratusan kes paling tinggi iaitu 51 peratus diikuti lain-lain pekerjaan/tidak bekerja (37 peratus), tapak bina (8 peratus) dan banduan (4 peratus). Secara keseluruhan, sebanyak 11 mukim masih berada di zon merah;
- CITF akan membuat tindakan susulan berhubung cadangan untuk mengintegrasikan data-data bawah seliaan Kerajaan Negeri, i-Sejahtera dengan MySejahtera bagi pelaksanaan program imunisasi.
Pada kesempatan ini, saya menyeru supaya rakyat Pulau Pinang untuk segera mendaftar sebagai penerima vaksin tanpa perlu menunggu bermulanya Fasa 2 dan Fasa 3. Sama-sama kita tingkatkan perangkaan negeri kita yang kini berjumlah 186,673 orang (sehingga 8 Mac 2021 jam 8 pagi) kepada angka yang lebih tinggi. Saya yakin kita mampu lakukannya!