Bagi pihak Kerajaan Negeri Pulau Pinang, saya ingin mengambil kesempatan ini mengucapkan Selamat Hari Wanita Sedunia 2021 kepada semua wanita di negeri ini.
Sebagai simbolik kepada hari yang cukup bermakna ini, sebagaimana kelaziman tahun-tahun sebelum ini, saya bersama-sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Saudara Teh Lai Heng, ADUN Pengkalan Kota, Saudara Daniel Gooi, ahli-ahli majlis dan barisan pusat khidmat saya telah mengedarkan 500 kuntum bunga teluki atau ‘carnation’ sebagai simbolik sambutan yang secara rasminya jatuh pada 8 Mac iaitu esok di seluruh dunia.
Dalam menghadapi cabaran masa kini terutama ketika tempoh pasca COVID-19, ada yang terkesan serta terjejas teruk akibat kehilangan kerja dan pendapatan. Namun, survival golongan wanita khususnya di Pulau Pinang dalam menghadapi cabaran normal baharu tersebut adalah amat mengagumkan.
Semakin ramai yang kreatif meneroka bidang yang mampu menjana pendapatan sampingan terutama aktiviti perniagaan secara dalam talian. Malah, ada juga yang mencabar diri untuk mempelajari selok-belok bidang keusahawanan sebagai ikhtiar membantu pasangan serta keluarga terutamanya anak-anak.
Pada peringkat global, menurut laporan bertarikh 5 Mac 2021, Jabatan Kerja Amerika Syarikat (US Labor Department) menyatakan bahawa sehingga bulan Januari lalu, separuh daripada 10 juta pekerjaan telah lenyap ekoran pandemik COVID-19. Perangkaan tersebut telah menyebabkan lebih daripada 2.5 juta wanita meninggalkan dunia pekerjaan berbanding lelaki, 1.8 juta.
Di Malaysia, kadar penyertaan pekerja (labour force participation) antara kedua-dua gender adalah 80.4 peratus bagi golongan lelaki dan wanita, 55.2 peratus. Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) pada tahun 2020 melaporkan bahawa seramai 107,024 individu kehilangan kerja dengan pecahan 61,157 atau 57.14 peratus adalah lelaki dan bakinya, 45,867 atau 42.86 peratus (wanita). Daripada jumlah tersebut, kadar di Pulau Pinang adalah 10,465 orang iaitu pada tahap ketiga tertinggi selepas Selangor (35,450) dan Kuala Lumpur (28,089). Pecahan bagi negeri Pulau Pinang mengikut gender adalah 5,474 orang atau 52.308 peratus adalah lelaki dan wanita (4,991 orang atau 47.692 peratus).
Bagi dua bulan pertama 2021, jumlah dicatatkan di seluruh negara adalah berjumlah 14,432 orang dengan pecahan 8,262 orang atau 57.25 peratus ialah lelaki manakala wanita (6,170 orang, 42.75 peratus) kehilangan pekerjaan. Pulau Pinang mencatatkan jumlah 795 dengan pecahan 419 orang atau 52.704 peratus adalah lelaki dan wanita (376 orang atau 47.296 peratus). Secara keseluruhan, sektor paling terkesan bagi negeri ini adalah pembuatan diikuti penginapan serta F&B, pemasaran dan bidang profesional serta tekninal. Jumlah tersebut meletakkan Pulau Pinang di tempat keempat selepas Selangor berjumlah 5,183 orang diikuti Kuala Lumpur (4,150) dan Johor (1,110).
Umumnya, Pulau Pinang konsisten dalam menterjemah dasar dan program bagi mengangkat martabat golongan wanita dengan memastikan lebih ramai wanita berdaya saing dapat dilahirkan terutama di peringkat akar umbi. Sejak tahun 2011, agenda pembangunan serta pemerkasaan golongan wanita terus menjadi agenda penting melalui gerak kerja di bawah Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC). Mengambil kira keperluan dan kepentingan semasa, Kerajaan Negeri telah meningkatkan peruntukan RM1 juta sebelum ini kepada RM2.5 juta bagi tahun ini kepada PWDC bagi memperkasakan lagi agenda sedia ada kini.
Lebih daripada itu, Kerajaan Negeri juga telah menggunapakai Dasar Keterangkuman Gender agar dasar, program dan amalan yang dilaksanakan mengambil kira serta selaras dengan perspektif gender semasa supaya keperluan golongan wanita dan juga lelaki dapat diambil tindakan sewajarnya. Terkini adalah penganjuran Program Sidang Wanita yang turut menyediakan platform kepada golongan wanita untuk tampil bersuara menerusi bidang politik.
Dalam situasi pandemik dan pasca COVID-19 kini, Kerajaan Negeri memahami dan komited mendengar rintihan semua pihak terkesan termasuk golongan wanita yang turut menghadapi tekanan, baik suri rumah tangga mahupun yang bekerja. Adalah diharapkan dalam situasi ini, golongan lelaki ataupun mereka yang bergelar bapa dapat memainkan peranan dengan turut berkongsi tanggungjawab terutamanya melibatkan hal-hal kebajikan, penjagaan anak-anak, kebersihan rumah, aktiviti memasak dan paling penting adalah sentiasa memberi galakan serta sokongan kepada pasangan masing-masing untuk meneroka dan menceburi bidang baharu.
Bersempena sambutan Hari Wanita Sedunia 2021 yang bertemakan ‘Memilih Untuk Mencabar’ atau ‘Choose to Challenge’, saya menyeru masyarakat Pulau Pinang untuk mencabar stereotaip gender, keganasan rumah tangga, gangguan seksual dan ketidaksaksamaan gender di peringkat pembuat keputusaan.
I ‘Choose to Challenge’!