Merujuk kepada kenyataan yang dikeluarkan oleh Pengerusi Parti Gerakan Pulau Pinang semalam yang kononnya mendakwa bahawa pembangunan Lebuhraya Berkembar Bukit Kukus telah “berkurang” dari segi panjang lebuhraya tersebut dari 5 km kepada 4 km. Ingin saya mengambil kesempatan di sini untuk sekali lagi membongkar penipuan yang merupakan tipu helah yang sering kali digunakan oleh Parti Gerakan untuk mengelirukan orang awam.
Keseluruhan pembangunan Lebuhraya Berkembar Bukit Kukus ini telah bermula pada enam tahun lalu di mana pada asalnya, keseluruhan panjang lebuhraya yang dicadangkan adalah pada 5.5 km, mengikut turutan dari kawasan Lebuhraya Thean Tek sehingga jalinan Jalan Tun Sardon, dan mengikut pecahan seperti berikut:
| AGENSI PELAKSANAAN | JUMLAH PANJANG |
| Majlis Bandaraya Pulau Pinang | 600 meter |
| Geo Valley Sdn. Bhd. | 800 meter |
| Majlis Bandaraya Pulau Pinang | 600 meter |
| PLB Land Sdn. Bhd. | 1,400 meter |
| Majlis Bandaraya Pulau Pinang | 1,600 meter |
| Majlis Bandaraya Pulau Pinang (jalinan Jalan Tun Sardon) | 500 meter |
| JUMLAH PANJANG | 5,500 meter |
Namun demikian, terdapat bahagian yang telah ditambahkan oleh pihak Majlis Bandaraya Pulau Pinang bagi memastikan kelancaran dan kesinambungan bagi keseluruhan pembangunan lebuhraya berkembar tersebut. Pecahan yang terkini yang telah disahkan bagi keseluruhan Lebuhraya Berkembar Bukit Kukus adalah seperti berikut:
| AGENSI PELAKSANAAN | JUMLAH PANJANG |
| Majlis Bandaraya Pulau Pinang | 600 meter |
| Geo Valley Sdn. Bhd. | 800 meter |
| Majlis Bandaraya Pulau Pinang | 600 meter |
| PLB Land Sdn. Bhd. | 1,400 meter |
| Majlis Bandaraya Pulau Pinang | 1,800 meter |
| Majlis Bandaraya Pulau Pinang (jalinan Jalan Tun Sardon) | 825 meter |
| JUMLAH PANJANG | 6,025 meter |
Untuk bahagian yang perlu dilaksanakan oleh pihak Majlis Bandaraya Pulau Pinang, ia telahpun selesai disempurnakan dan bagi bahagian yang perlu dilaksanakan oleh pihak pemaju selaras dengan pematuhan kelulusan Permohonan Merancang, kerja-kerja tersebut masih terus dijalankan.
Sehubungan dengan itu, saya berasa sungguh hairan terhadap pengukuran yang telah “dijalankan” oleh En. Oh Tong Keong yang menjurus kepada dakwaan palsu beliau yang menyatakan bahawa Lebuhraya Berkembar Bukit Kukus telah “dipendekkan”. Apakah kayu pengukur yang digunapakai sehinggakan beliau boleh menipu dari segi panjang keseluruhan projek lebuhraya berkembar tersebut?
Apakah ini satu lagi tipu helah yang sering kali digunakan oleh Parti Gerakan Pulau Pinang dari Perikatan Nasional yang sering kali mengelirukan orang awam? Saya berharap dengan penjelasan ini, ia bukan sahaja akan membongkar penipuan yang dilakukan oleh Parti Gerakan, malahan turut membongkar sikap yang diamalkan oleh Parti Gerakan Pulau Pinang selama ini yang sanggup melakukan apa-apa sahaja demi kelangsungan politik mereka.