Skip to content

Kenaikan kadar sumbangan bagi platform i-Sejahtera: Program penghargaan warga emas dan bantuan orang kurang upaya (OKU) negeri Pulau Pinang

Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah memperkenalkan program- program penghargaan dan kebajikan melalui platform i-Sejahtera yang melibatkan pelbagai program antaranya Program Penghargaan Warga Emas dan Bantuan Orang Kurang Upaya (OKU).

Program-program ini telah diwujudkan sejak tahun 2009 dan masih diteruskan sehingga kini. Sehingga 19 Januari 2022, jumlah pemohon berdaftar yang direkodkan adalah sebanyak 205,477 orang bagi Program Penghargaan Warga Emas dan 12,391 orang bagi Program Bantuan Orang Kurang Upaya (OKU).

Pada peringkat permulaan, program ini diperkenalkan dengan jumlah sumbangan sebanyak RM100 setahun dan kemudian telah dinaikkan ke RM130 setahun. Berikutan sambutan yang amat menggalakkan daripada rakyat Negeri Pulau Pinang, Kerajaan Negeri telah menyatakan hasrat dalam manifesto Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 untuk meningkatkan lagi kadar bantuan tahunan bagi kedua-dua program ini.

Sepertimana dijanjikan, kadar sumbangan telah dinaikkan secara berperingkat. Bermula pada tahun 2020, kadar sumbangan telah dinaikkan ke RM150 setahun dan kini Kerajaan Negeri akan menaikkan lagi kadar sumbangan ke RM200 setahun yang akan dimanfaatkan oleh 217,868 pemohon berdaftar.

Jadual bayaran Program i-Sejahtera bagi tahun 2022 telah dijadualkan bermula pada 25 Januari 2022 dengan kaedah bayaran secara Electronic Funds Transfer (EFT). Seperti yang telah sedia maklum, Kerajaan Negeri telah menghentikan kaedah bayaran secara tunai sebagai satu usaha untuk mengekang penularan semula wabak COVID-19. Sehubungan itu, pemohon hendaklah mengemaskini maklumat akaun bank masing-masing bagi penyaluran sumbangan ini. Bayaran akan dilakukan secara berfasa bagi memastikan lebih ramai pemohon dapat menerima sumbangan dalam tahun semasa.

Kerajaan Negeri sedia maklum bahawa terdapat sebilangan pemohon yang hanya dapat mengemaskini maklumat akaun bank dalam tahun semasa (2022) dan telah terlepas bayaran bagi tahun 2020 dan juga tahun 2021. Atas dasar keprihatinan Kerajaan Negeri, bayaran tahun 2020 dan 2021 akan tetap dilakukan kepada semua pemohon yang terlibat bagi fasa bayaran yang dijadualkan pada Mac 2022.

Selain itu, ingin diingatkan bahawa kegagalan mengemaskini maklumat akaun bank sebelum 30 Jun tahun semasa akan menyebabkan bayaran pada tahun tersebut dihapus kira.

Berdasarkan rekod, terdapat sebanyak 31,162 orang pemohon Program i-Sejahtera yang masih belum mengemas kini maklumat akaun bank dengan pecahan 26,745 pemohon Program Penghargaan Warga Emas, 209 pemohon Program Bantuan Orang Kurang Upaya (OKU), 867 pemohon Program Bantuan Ibu Tunggal dan 3,341 pemohon Program Suri Emas. Untuk makluman, Program Suri Emas adalah penjenamaan semula Program Ibu Emas yang bermula pada Januari 2022.

Pengemaskinian maklumat akaun bank boleh dilakukan secara dalam talian (online) melalui Sistem i-Sejahtera ataupun secara terus ke kaunter Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Pejabat Daerah terdekat dengan mengemukakan salinan penyata akaun bank terkini. Sehubungan dengan itu, saya ingin menyeru agar tindakan segera diambil oleh pemohon berkenaan agar Kerajaan Negeri dapat menyalurkan sumbangan kepada anda.