Skip to content

Mendesak kerajaan negeri supaya henti memberi kelulusan lesen pembalakan dengan serta-merta dan mengkaji semula aktiviti pembalakan dalam negeri supaya tragedi banjir tidak mengulangi lagi

Saya menerima aduan daripada penduduk Taman Shahbandar Height berkaitan aktiviti pembalakan berskala besar di hutan simpanan Kuala Raka. Hutan simpanan itu berlokasi di belakang Taman Shahbandar Height, Bentong.

Saya berasa terkejut atas aduan tersebut kerana kegiatan pembalakan berkenaan telah ingkar perintah larangan yang dikeluarkan oleh Jabatan Perhutanan Negeri pada 3 Januari 2022.

Penduduk Taman Shahbandar Height mendengar bunyi pokok-pokok patah dan tumbang secara berlanjut-lanjut dari awal pagi hingga petang sejak minggu lalu. Saya mengesahkan aduan penduduk tersebut kerana saya juga mampu mendengar bunyi pokok ditebang dengan jelas apabila turun padang ke Taman Shahbandar Height.

Kegiatan pembalakan sedang dijalankan dalam skala yang membimbangkan di kawasan tersebut.

Pengarah Perhutanan Negeri Pahang pada 3 Januari lalu telah menghentikan segala aktiviti balak dalam negeri buat sementara waktu. Namun demikian, aktiviti penebangan pokok haram di kawasan Taman Shahbandar Height masih berleluasa.

Menurut papan notis yang didirikan atas tapak tersebut, lesen pembalakan berkenaan diawadkan oleh Jabatan Perhutanan kepada Asialis Corporation Sdn Bhd. Tempoh kelulusannya adalah dari 1.11.2021 sehingga 31.1.2022.

Lebih-lebih lagi, secara munasabah saya mengesyaki bahawa pembalakan ini telah menyumbangkan kepada banjir kilat di Bentong kerana aktiviti berkenaan dijalankan apabila Bentong dilanda banjir.

Chow Yu Hui, ADUN Tras, yang mana ibunya juga penduduk Taman Shahbandar Height, mengatakan bahawa beliau bersama penduduk yang lain telah membuat laporan polis terhadap syarikat pembalakan yang disyaki melanggar larangan pembalakan tersebut.

Mereka berharap pihak polis boleh bertindak tegas dan menyiasat sama ada aktiviti pembalakan di kawasan tersebut telah melanggar apa-apa undang-undang.

Pada tahun lepas, Menteri Besar Pahang mengatakan bahawa objektif utama kerajaan negeri adalah untuk memulihara alam sekitar, namun realitinya, beliau mengizinkan sindiket pembalakan membersihkan hutan simpan secara rakus. Nampaknya sangat hipokrit.

Ramai penduduk Bentong masih dalam trauma setelah mengalami banjir besar bulan lalu. Fakta juga menunjukkan banjir itu sememangnya berkaitan dengan aktiviti pembalakan yang tidak terkawal.

Kejadian “Tsunami Balak” di Sungai Perdak bulan lalu juga jelas membuktikan kerajaan negeri Pahang yang mengizikan pembalakan tanpa kawalan merupakan perosak alam sekitar yang utama.

Saya mendesak kerajaan negeri supaya henti memberi kelulusan lesen pembalakan dengan serta-merta dan mengkaji semula aktiviti pembalakan dalam negeri supaya tragedi banjir tidak mengulangi lagi. Rakyat Pahang tidak mampu hadapi banjir sekali lagi.