Berespon kepada cadangan daripada Pengerusi BERSIH Maria Chin Abdullah untuk mengenakan deposit sebanyak RM200 kepada pembantah yang ingin membuat bantahan ke atas Rang Daftar Pemilih Tamabahan (RDPT) saya berpendapat bahawa ia bukan penyelesaian bagi mengurangkan salahlaku dan penyelewengan yang wujud sekarang. Sebaliknya ia akan menyusahkan lagi pihak awam yang berusaha membanteras fenomena pemilih hantu secara bona fide yang tidak mampu bayar deposit yang mahal.
Berdasarkan pengalaman saya dan pasukan DAP sejak tahun 2013 di Johor, analisa dan siasatan kami ke atas senarai pemilih telah membantu mengesan ratusan kes pendaftaran baru dan pendaftaran pertukaran alamat yang ragu. Saya sendiri telah membuat lawatan dan siasatan ke lebih 50 alamat kediaman yang disyaki bermasalah pada tahun yang lepas. DI sesetengah kes yang pihak kami laporkan kepada SPR, walaupun maklumat dan bukti adalah sangat kukuh, SPR menolah bantahan kami dan mengarahkan bayaran RM100 setiap kes.
Jelas, sekiranya bayaran deposit RM200 setiap bantahan dikenakan seperti cadangan Bersih, maka halangan untuk membuat bantahan akan menjadi lebih besar, khususnya untuk orang awam dan parti pembangkang yang kekurangan sumber kewangan. Setiap suku apabila Rang Daftar Pemilih Tamabahan diterbitkan, mungkin sekali kami kena mencari puluhan ribu untuk memfailkan bantahan, dan mungkin sekali wang ini tidak akan dapat diambil balik.
Bagaimana pun, soal peningkatan bayaran deposit tidak menjadi masalah kepada pihak Barisan Nasional. Mereka akan terus membantah dan membayar. Mereka mampu untuk berbuat demikian, walaupun cukup tidak beretika dan merosakan sistem demokrasi.
Masalah pokok adalah kegagalan SPR untuk bertindak secara bebas dan amanah. Peningkatan bayaran deposit tidak akan menyelesaikan masalah, malah akan membina rintangan yang berpihak kepada parti yang kaya.
Saya cadang dua langkah berikut untuk tindakan selanjutnya Bersih dan part-parti yang sehaluan untuk kempen bersama. Pertama, pendaftaran pemilih secara automatik bagi mengurangkan sekatan birokrasi proses pendaftaran pemilih. Kedua, pembersihan Daftar Pemilih bagi memastikan seseorang pemilih yang didaftarkan itu adalah penduduk sebenar di sesuatu bahagian pilihanraya tertentu seperti yang diperuntukkan dalam Perkara 119, Perlembagaan Persekutuan.
Perkembangan terbaru di Johor cukup membimbangkan. Dalam sesi Pendengaran Siasatan Awam Bantahan RDPT Suku 4 Tahun 2016 pada 2 April 2017 di Kluang, SPR Johor menolak tujuh kes bantahan walaupun pemilih yang dibantah mengakui bahawa mereka memang bukan pemastautin di alamat yang didaftarkan. Dengan kata lain, mereka sengaja menggunakan alamat orang lain untuk menjadikan alamat baru kad pengenalan dan seterusnya membuat pertukaran alamat kawasan mengundi. SPR memutuskan bahawa asalkan tuan rumah membenarkan, sesuatu alamat boleh digunakan oleh orang lain. Hal ini bercanggah dengan kehendak Perkara 119, Perlembagaan Persekutuan dan membuka ruang kepada pemindahan pemilih hantu bagi memanipulasi keputusan pilihanraya.
Saya tidak hairan SPR dan Barisan Nasional akan menyambut baik cadangan Maria Chin kerana ia mungkin menguatkan lagi kedudukan dan kelebihan mereka.
DAP akan cuba menyakinkan Bersih dan NGO lain yang sependapat supaya menumpukan usaha pada kempen pendaftaran pemilih secara automatik dan pembersihan Daftar Pemilih. Kita tidak patut tersasar daripada tugas-tugas utama yang lebih mendesak.