DAP akan memanggil mesyuarat CEC pada hari Isnin untuk membincangkan pilihan raya umum Sabah berikutan keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pagi ini yang menolak permohonan yang diketuai oleh bekas ketua menteri Sabah Musa Aman untuk tidak membenarkan pembubaran dewan undangan negeri Sabah. Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 12 September untuk penamaan calon dan 26 September untuk pengundian.
Ketua Menteri sementara Sabah, Datuk Seri Shafie Apdal telah membuat keputusan yang berani dan tepat untuk membubarkan DUN Sabah untuk menghentikan “ahli politik katak” daripada dibeli untuk membentuk kerajaan baru. Kembali kepada rakyat untuk membolehkan mereka memilih kerajaan mana yang mereka mahukan, adalah jalan penyelesaian terbaik untuk mengalahkan politik wang yang menyebabkan krisis politik.
Bukan hanya rakyat Sabah, tetapi rakyat Malaysia merasa jijik dengan usaha menjatuhkan kerajaan negeri Datuk Seri Shafie Apdal dengan membeli anggota Dewan Undangan Negeri dengan sejumlah wang sehingga RM32 juta dan tawaran jawatan kabinet negeri. Hingga kini, Perdana Menteri Tan Sri Muhydin Yassin belum menjelaskan mengapa dia menghantar Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin dan setiausaha politiknya untuk menemui Gabenor Sabah Tun Juhar Mahiruddin, dan meminta agar Shafie Apdal diganti dengan Musa Aman.
Sejak Kerajaan Persekutuan digulingkan setelah mandat rakyat dikhianati oleh beberapa wakil rakyat Pakatan Harapan, rakyat Malaysia sangat marah kerana parti yang menang pilihan raya umum 2018 digantikan oleh parti yang kalah. Pengkhianatan demi pengkhianatan diteruskan tanpa hukuman dengan Kedah, Perlis, Melaka dan Johor yang turut menukar kerajaan. Hanya kerajaan negeri Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan dan Sabah yang masih berpegang pada mandat daripada rakyat dengan enggan dibeli.
Sabah adalah negeri pertama yang PN gagal merancang perubahan pemerintahan dengan membeli ahli politik katak. Ini adalah peluang yang baik untuk masa depan sebuah negeri ditentukan oleh kuasa rakyat dan bukannya politik wang.
DAP akan mengambil bahagian dalam pilihan raya umum Sabah yang akan datang sebagai rakan kongsi yang boleh dipercayai kepada Warisan dan akan menunggu cadangan DAP Sabah serta pandangan daripada Shafie Apdal. Jadikan pilihan raya umum Sabah sebagai titik permulaan gerakan rakyat Sabah untuk menegakkan demokrasi, integriti, kemakmuran ekonomi, keadilan dan melindungi hak-hak orang Sabah.