Berkaitan isu papan tanda di bandaraya Kuching Sarawak yang kebelakangan ini menjadi topik hangat, kami merayu supaya kita menghormati perbezaan sosio-budaya di antara Wilayah Sarawak dan Semenanjung Malaysia.
Kita tidak semestinya membaca segala isu melalui kanta dan fahaman semenanjung, khususnya berkaitan isu-isu melibatkan budaya setempat. Perlu dimaklumkan bahawa papan tanda jalan yang juga memaparkan bahasa cina telah lama menjadi ciri istimewa di Bandar raya Kuching, yang baru-baru ini diubah. DAPSY Sarawak hanya mengorak langkah untuk memulihkan kembali apa yang sudah lama bertapak dan tidak pernah menjadi isu.
Kepada Saudara-saudari daripada Pemuda AMANAH Nasional dan Angkatan Muda Keadilan yang telah menyuarakan bantahan, kami menghormati hak dan kebebasan masing-masing untuk bersuara.
Namun, saya mencadangkan supaya pendapat pucuk kepimpinan Pemuda AMANAH Sarawak dan AMK Sarawak didengari sebelum kritikan berbaur serangan dituju terhadap DAPSY.
DAPSY KEBANGSAAN menghormati autonomy sarawak, dan keputusan DAP dan DAPSY Sarawak dalam isu papan tanda jalan, termasuk penyelesaian kepada kemelut ini yang bakal dicapai di antara DAP Sarawak dan MBKU.