Insiden yang berlaku dekat bazar ramadhan Kluang baru-baru ini yang tular menerusi rakaman video ‘saya imam’ amat mendukacitakan. Lebih malang lagi, hal ini berlaku di bulan Ramadhan yang mulia bagi umat Islam.
Saya merupakan watak yang terlibat langsung dalam insiden tersebut. Ini bukan kali pertama. Pada 2014, rombongan kami juga telah dihalang masuk ke bazar yang sama untuk mengedarkan kurma. Insiden 2014 tersebut tular dengan jolokan ‘mana surat?’.
Malang sekali apabila ADUN Mahkota Datuk Jais Sarday mendakwa DAP pernah meminta Bazar Ramadhan Kluang dipindahkan dari lokasi sedia ada pada tahun 2007 dahulu. Hujah semberono tanpa fakta sebegini hanya menjatuhkan ‘standard’ seorang wakil rakyat UMNO berstatus Exco Kanan Negeri.
Tambah malang lagi, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri pula, Datuk Razali Ibrahim menyokong kenyataan Jais Sarday. Pada masa yang sama beliau mengakui sememangnya bazar tersebut dikendalikan oleh anggota-anggota Umno Kluang.
Jais dan Razali sepatutnya lebih tegas dan kembali kepada persoalan pokok. Adakah beliau bersetuju dengan tindakan ala samseng yang dilakukan oleh sekumpulan pemuda tersebut keatas Ahli Parlimen Kluang?
Adakah beliau bersetuju dengan tindakan melarang seorang wakil rakyat memasuki bazar ramadhan yang merupakan public area?
Adakah beliau bersetuju bahawa anggota UMNO perlu menguasai bazar ramadhan melangkaui Pihak Berkuasa Tempatan sehinga berlaku lagak samseng yang tiada kawalan?
Selain itu, adakah beliau bersetuju anggota UMNO yang menguruskan perniagaan lalu memiliki kuasa penuh keatas keseluruhan kawasan dan berhak melarang siapa yang boleh memasukinya dan siapa yang tidak?
Kedua-duanya mereka tidak menjawab persoalan ini. Bahkan tidak sedikit pun menunjukkan rasa bersalah atas tindakan ala samseng yang dilakukan oleh sekumpulan pemuda dipercayai ‘budak-budak UMNO’ tersebut sebaliknya memilih hujah tipikal UMNO iaitu dengan menyalahkan DAP.
Sebagai seorang warganegara, saya berasa amat sedih dan memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia atas reaksi tidak bertanggungjawab diberikan kedua-dua pemimpin UMNO ini.
Tindakan kasar dan lagak samseng ditunjukkan ‘budak-budak UMNO’ tersebut bukanlah akhlak yang dianjurkan oleh Islam mahupun adab pekerti orang Melayu sekalipun pelaku melaung-laungkan kalimah “saya imam, saya imam”.
Ia hanyalah amalan ‘budak-budak UMNO’ yang mendapat restu pemimpin mereka.
Apa yang berlaku semasa kami mengedarkan kurma di Bazar Ramadhan Kluang sebenarnya sudah cukup menggambarkan bahawa majoriti rakyat tidak suka kepada keganasan dan budaya samseng. Rakyat mahukan keamanan, kerukunan, semangat muhibbah dan budaya saling hormat-menghormati.
Kami memulakan aktiviti edaran kurma di bahagian basah (jualan makanan) seawal jam 5.45 petang lagi. Sehingga hampir jam 7.00 petang, semuanya ok. Kami menemui para peniaga dan pengunjung bazar, bersalaman dan beramah mesra dengan penuh rukun dan semangat silaturahim.
Kami berikan kurma, mereka menerima dengan hati terbuka. Ada yang ambil kesempatan untuk berswafoto dengan kami. Semuanya lancar.
Namun sekitar jam 6.45 petang setibanya kami di bahagian jualan kering (pakaian), barulah muncul ‘budak-budak UMNO’ ini membuat kekecohan.
Kami difahamkan urusetia kedua-dua bahagian ini adalah berbeza. Bahagian basah diuruskan oleh Koperasi Peniaga Melayu Pasar Malam manakala menurut ramai orang disitu, bahagian kering diuruskan oleh UMNO. Samalah seperti kenyataan dikeluarkan oleh Razali Ibrahim.
Kerana itulah, saya percaya insiden yang berlaku adalah berpunca dari tabiat UMNO sendiri yang sering memilih untuk meniupkan sentimen perkauman dan keagamaan sempit demi mengukuhkan hegemoni mereka dikalangan rakyat berbilang agama dan bangsa.
Dan seperti biasa, DAP lah yang bakal menjadi sasaran untuk dipersalahkan. DAP nak halau Melayu, DAP anti Islam dan segala macam label bertujuan mengalih perhatian rakyat dari melihat isu sebenar melingkari rakyat melibatkan ekonomi dan urustadbir negeri serta negara.
Dalam konteks insiden bazar ramadhan kali ini, kenyataan Jais dan Razali telah melengkapkan keseluruhan gambaran taktik dan naratif UMNO BN ini.
Pun begitu, saya percaya bahawa rakyat tidak mudah dipermainkan. Rakyat bijak dan rasional. Taktik jahat UMNO BN ini akan hanya memakan diri mereka sendiri dan menjadikan mereka tidak relevan untuk generasi masa hadapan Malaysia.
Hasil lawatan saya dan Pakatan Harapan bertemu rakyat di Kluang pasca insiden, ramai yang dengan berani tampil menyatakan kekesalan mereka terhadap sikap ala samseng yang dilakukan oleh ‘budak-budak UMNO’ tersebut.
Bahkan, ada kawan-kawan lama saya sejak sekolah rendah lagi muncul kembali menerusi perhubungan media sosial menyatakan solidariti terhadap saya dan rakan-rakan dan mengecam tindakan ‘budak-budak UMNO’. Respon netizen pula, tidak perlu saya perjelaskan lagi disini.
Oleh itu, DAP dan parti-parti Pakatan Harapan tidak akan terganggu dengan permainan UMNO BN ini.
Kami akan terus konsisten mendekati rakyat tanpa mengira latar, memberikan penerangan dan menyantuni mereka agar Malaysia yang lebih adil, rukun dan sejahtera dapat direalisasikan untuk anak cucu kita.