Saya berasa kesal terhadap kenyataan Ahli MMKN Kerajaan Negeri Johor Datuk Haji Jais Sarday (ADUN Mahkota) dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dato’ Razali Ibrahim (Ahli Parlimen Muar) berkaitan kejadian bazaar Ramadhan Kluang yang membela pihak yang melakukan kekasaran serta memfitnah DAP dengan mengapi-apikan sentimen perkauman di kalangan masyarakat pelbagai kaum di negara kita.
Kedua-dua pemimpin kanan parti UMNO tersebut menuduh tanpa bukti bahawa pada tahun 2007 DAP pernah membantah bazaar Ramadhan dan meminta ianya dipindahkan. Ini adalah fitnah jahat untuk menjatuhkan imej parti DAP. Ini adalah perbuatan jahat untuk menyemai rasa benih kebencian antara masyarakat berbilang kaum. DAP Kluang tidak pernah berlaku biadab terhadap peniaga-peniaga bazaar Ramadhan seperti yang dituduh oleh UMNO.
Siasatan saya mendapati bahawa apa yang berlaku pada tahun 2007 adalah berpunca daripada beberapa orang pemunya kedai di lokasi bazaar yang mengadu tentang masalah kesesakan lalu-lintas dan kebersihan awam. Isu-isu tersebut telah dibawa ke perhatian Majlis Perbandaran Kluang dan kemudian selesai. Jelas, ia merupakan isu pentadbiran dan tiada kaitan dengan sentimen perkauman seperti yang dituduh UMNO.
Kini, dua orang pemimpin kanan UMNO cuba mengaitkan peristiwa sejarah 2007 dengan DAP. Memandangkan betapa seriusnya tuduhan sedemikian, saya menggesa mereka mengemukakan bukti kukuh untuk menyokong dakwaan mereka. Jika gagal, mereka harus memohon maaf secara terbuka dengan rakyat khususnya masyarakat Kluang kerana mereka telah bercakap tidak benar.
Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk menceritakan sedikit peristiwa yang berlaku pada bulan Jun dua tahun lepas yang melibatkan kediaman peribadi Datuk Jais. Lebih kurang pada pukul 10 pagi 4hb Jun 2015, saya dalam perjalanan dari Lapangan Terbang Subang ke tempat mesyuarat. Tiba-tiba telefon saya berbunyi dan pembantu saya memaklumkan bahawa kediaman Datuk Jais telah diserang dengan sebuah bungkusan yang dipercayai mengandungi kepala babi. Pada masa yang sama pejabat parti DAP juga dilemparkan cat merah.
Saya cukup marah kerana sesiapa yang berlaku jahat itu telah melepasi segala batasan. Ini perbuatan jenayah. Dengan segera saya menelefon Datuk Jais dan beliau memberitahu saya ‘semuanya ok’ dan pihak polis akan membuat siasatan. Saya lega. Apapun perbezaan kami berdua dalam medan politik, saya tidak ingin melihat ada perkara tidak elok yang berlaku ke atas diri beliau atau ahli keluarga beliau. Kami lawan dalam politik moden, bukan dalam medan perang seperti zaman dahulu. Saya cukup lega peristiwa Jun 2015 ini tidak mengakibatkan apa-apa ketegangan antara kaum di Kluang walaupun siasatan polis sehingga hari ini tidak berhasil.
Sebagai seorang pemimpin saya berpendapat bahawa kami memikul tanggungjawab yang berat dalam membina ketenteraman tetapi bukan menimbulkan ketegangan dalam masyarakat. Kenyataan Datuk Jais khasnya yang membela pihak yang membuat kecoh dan berlaku kasar bukan sahaja adalah negatif dan tidak waras. Saya memohon supaya beliau fikir kembali dan berubah sikap. Selain menang kalah dan pegang kuasa, perjuangan politik adalah untuk kesejahteraan rakyat dan kepercayaan awam.
Sebagai seorang pemimpin saya berpendapat bahawa kami memikul tanggungjawab yang lebih dalam mengekalkan ketenteraman tetapi bukan menimbulkan ketegangan dalam masyarakat. Kenyataan YB Jais khasnya yang membela pihak yang menimbulkan kekecohan dan mengaitkan isu ini kepada dendaman bukan sahaja tidak dapat mengekalkan ketenteraman malah iainya mungkin menimbulkan ketegangan dalam masyarakat.
Akhir sekali, saya rasa lebih elok Datuk Jais dan Gan Ping Sieu sebagai pemimpin utama Barisan Nasional Kluang membuat kenyataan bersama dan berdepan dengan rakyat Kluang. Datuk Gan semalam telah membuat kenyataan dalam laman Facebook peribadi bahawa perbuatan menghalang dan mengasari wakil rakyat untuk melawat tempat awam seperti bazaar Ramadhan adalah tidak wajar. Datuk Jais pula memilih untuk membela pihak yang berlaku kasar tersebut. Kenapa duduk dalam kapal BN yang sama tetapi hujah dan pendirian Datuk Gan dan Datuk Jais bertentangan?