Suatu rombongan Pakatan Harapan Kluang telah melawat ke pejabat SAJ Kluang untuk membincangkan persediaan pihak SAJ untuk menghadapi permintaan yang dijangka naik mendadak semasa musim perayaan akan datang pada hari semalam.
Rombongan tersebut diketuai oleh Ahli Parlimen Kluang YB Liew Chin Tong dan dianggotai pimpinan Pakatan Harapan Kluang. Hari ini YB Liew juga mengetuai suatu rombongan untuk melawat ke Simpang Renggam untuk membincangkan isu pembekalan air di Simpang Renggam.
Secara keseluruhannya saya menjangkakan pembekalan air terawat di sekitar daerah Kluang tidak akan menghadapi masalah yang besar dalam musim perayaan akan datang ini memandangkan pihak SAJ telah membuat persediaan rapi bagi berhadapan dengan musim perayaan yang dinamakan Ops Ketupat yang berlangsung antara 18 Jun hingga 2 Julai 2017.
Bagaimana pun, kami berasa bimbang dengan keadaan di sekitar pekan Simpang Renggam yang mendapat bekalan air daripada Loji Rawatan Air Simpang Renggam.
Operasi LRA Simpang Renggam sering terganggu akibat daripada pencemaran teruk di sumber air iaitu Sungai Benut khasnya semasa musim hujan.
Telah menjadi pengetahuan awam bahawa punca pencemaran ini adalah berpunca daripada limpahan air lecet dari tapak pelupusan sampah menyebabkan kandungan ammonia pada air mentah di Sungai Benut terlalu tinggi sehingga sukar untuk dirawat. Masalah ini berlaku apabila air lecet dalam kolam takungan tapak pelupusan sampah tersebut melimpah keluar dan mengalir masuk ke Sungai Benut ekoran hujan lebat turun semasa musim hujan.
Perkara ini merupakan suatu faktor tidak menentu yang akan mengakibatkan gangguan bekalan air di sekitar Simpang Renggam dan sebahagian daerah Pontian dalam musim perayaan ini.
YB Datuk Liang Teck Meng sebagai Ahli Parlimen Simpang Renggam yang juga merangkap Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) harus lebih proaktif dan bersungguh menangani masalah ini pada masa yang sama memberi jaminan sekurang-kurangnya bekalan air terawat tidak akan mengalami gangguan dalam musim perayaan akan datang.
Pada masa yang sama, saya juga memohon perhatian dan penjelasan daripada beliau sebagai Pengerusi SPAN terhadap beberapa isu dan projek tertunggak atau terlewat berkaitan isu pembekalan air di negeri Johor.
Pembinaan loji rawatan air Kahang yang dinanti-nantikan oleh seluruh warga Kluang dengan peruntukan sebanyak Ringgit Malaysia 125 juta. Berdasarkan Kajian Sumber Air Negara, tahap pertama Loji Rawatan Air Kahang dijangkakan siap dibina pada tahun 2014. Bagaimana pun, kita masih belum memulakan pembinaan loji rawatan air ini sehingga sekarang. Maka, kerajaan harus menjelaskan kepada seluruh warga Johor sebab-sebab projek yang pada mulanya dijangkakan siap dibina pada tahun 2014 hanya masih tertangguh-tangguh?
Apakah perkembangan terkini projek pembinaan satu saluran pemindahan air sementara yang menghubungkan Empangan Kahang ke Loji Rawatan Air Sembrong Timur yang bernilai RM15 juta, seperti yang diumumkan oleh YAB Menteri Besar Johor semasa membentangkan Bajet 2017 pada November 2016? Bukankah ini merupakan sesuatu perbelanjaan tambahan yang boleh dielakkan sekiranya pembinaan LRA Kahang dapat dirancang dan bermula lebih awal dan siap mengikut jadual yang dirancang dalam Kajian Sumber Air Negara?
Apakah factor yang menyumbangkan kepada cadangan membina sebuah “inflatable weir” merentasi Sungai Sembrong Kiri yang dirancang siap dibina pada tahun 2011 masih belum dilaksanakan? Keadaan ini telah menyebabkan SAJ Holdings yang merupakan pengoperasi merawat air terpaksa menambak sedikit Sungai Sembrong Kiri di intake air bagi meninggikan sedikit paras air di intake yang mana pada hakikatnya tidak membantu sangat dalam mengekalkan paras air Sungai Sembrong Kiri.
Kita juga mendapati bahawa pelbagai aktiviti pertanian yang mendatangkan kemusnahan kepada kawasan tadahan air Sungai Sembrong Kiri giat dijalankan di kedua-dua tebing sungai itu sahaja. Sebagai satu sumber air penting yang membekalkan air untuk lebih kurang satu per tiga permintaan air terawat di Kluang apakah rancangan pihak kerajaan dalam membaikpulih kawasan tadahan air yang telah dimusnahkan di Sungai Sembrong Kiri itu?
Kajian Sumber Air Negara juga telah mengesyorkan supaya Empangan Bekok dinaik taraf bagi menampung pemintaan yang semakin meningkat di daerah Batu Pahat. Bagaimanakah perkembangan rancangan ini? Apakah masalah atau halangan yang dihadapi sehingga projek yang dijangkakan siap pada tahun 2011 ini mengalami kelewatan ?
Satu lagi cadangan Kajian Sumber Air Negara adalah membina Barrage Seng Heng untuk menambahkan pembekalan air mentah sebanyak 530 juta liter sehari (MLD) disiap bina pada tahun 2012 untuk membekalkan air kepada penduduk di sekitar daerah Johor Bahru. Apakah perkembangan terkini pelaksanaan projek ini?
Satu lagi rancangan untuk pembekalan air di daerah Johor Bahru adalah pembinaan Empangan Jengeli yang membekalkan air mentah sebanyak 135 MLD yang dicadangkan siap pada tahun 2012 juga. Apakah perkembangan terkini projek ini?
Adakah kelewatan pelaksanaan projek-projek ini merupakan salah satu factor penyumbang kepada krisis air yang berlaku di sekitar daerah Johor Bahru pada tahun lepas? Adakah kerajaan mempunyai rancangan untuk melaksanakan projek ini?
Sekiranya ya, Apakah punca utama yang menyumbang kepada kelewatan projek ini? Jika tidak, mengapakah kerajaan membuat keputusan sedemikian?
Memandangkan penduduk-penduduk di Mersing mengalami gangguan bekalan air yang berlanjutan lebih daripada 6 bulan adakah kerajaan begitu bahawa masalah ini dapat diselesaikan dengan projek naiktaraf Empangan Congok? Untuk memastikan kelestarian bekalan air di daerah Mersing adakah kerajaan mempunyai rancangan untuk memulakan rancangan pembinaan Empangan Mersing dengan lebih awal supaya projek ini dapat siap lebih awal atau tepat pada tahun 2022 seperti yang disyorkan dalam Kajian Sumber Air Negara?
Pihak kerajaan harus mengamalkan sikap lebih proaktif menggubal dasar menyeluruh dalam penguruskan sumber air di negeri Johor tetapi bukannya bersikap pasif dan reaktif atau responsif seperti sekarang.