DAP mahu semua rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum, agama, atau kawasan untuk bersatu padu memberikan kestabilan politik kepada negara – yang merupakan dua syarat sebelum Malaysia dapat bangkit semula sebagai sebuah negara hebat dunia.
Saya telah dituduh sebagai anti-Melayu, anti-Islam, anti-Raja, pencetus rusuhan 13 Mei 1969, dan sebagai seorang komunis. Tetapi fitnah liar dan tidak masuk akal ini tidak dibuat dalam 35 tahun terawal kerjaya saya, sebaliknya dalam 20 tahun terakhir dalam abad ke-21. Mengapakah begini?
Sebabnya agak mudah.
DAP dan saya tidak dilihat sebagai ancaman terhadap parti-parti politik Melayu di mana bersaing untuk mendapatkan sokongan politik dari kalangan orang Melayu di kerusi-kerusi separa bandar dan luar bandar dalam abad ke-20 dari tahun 1965 ke tahun 2000.
Dalam 20 tahun terakhir kerjaya politik saya, parti-parti Melayu mula melihat DAP sebagai ancaman terhadap asas sokongan orang Melayu mereka memandangkan terdapat perubahan pemikiran dan kini semakin ramai orang Melayu yang bersetuju dengan ideologi DAP bahawa Malaysia adalah untuk semua rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum, agama, atau kawasan, asalkan mereka komited sebagai seorang rakyat Malaysia.
Kita di DAP mencatatkan sejarah pada tahun 1990 dengan Ahmad Nor dipilih sebagai Ahli Parlimen Bayan Baru walaupun sejak dari Pilihan Raya Umum 1969 lagi, kita memang sudah ada Ahli Dewan Undangan Negeri Melayu di peringkat negeri.
Dalam pilihan raya umum 2013, dua orang Ahli Parlimen Melayu DAP menang – Zairil Khir Johari untuk Bukit Bendera dan Mohd Ariff Sabri bin Abdul Aziz untuk Raub. Ada seorang Ahli Parlimen DAP menang dalam PRU 2018, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji, di Raub. Dan tiga orang Ahli Parlimen DAP Melayu dalam PRU 2022, Syahredzan bin Johan, Bangi, Young Syefura Othman, Bentong, dan Syerleena Abdul Rashid, Bukit Bendera.
Dalam 20 tahun yang lepas, DAP dilihat sebagai ancaman yang bersaing dengan parti-parti politik Melayu untuk sokongan orang Melayu dan momokan terhadap DAP sebagai kononnya anti Melayu, Islam, dan Raja, kononnya pencetus rusuhan 13 Mei 1969 di Kuala Lumpur, dan kononnya komunis telah dilampirkan sebagai reaksi defensif mereka untuk menghalang DAP dari mendapat sokongan orang Melayu.
Saya telah dituduh sebagai anti-Melayu, anti-Islam, anti-Raja, pencetus rusuhan 13 Mei 1969, dan sebagai seorang komunis tetapi tidak ada sekelumit bukti pun dapat diberikan dari 58 tahun kerjaya politik saya.
Bagaimana boleh saya jadi seorang anti-Melayu, apabila anak saya, Lim Guan Eng, dipenjarakan di Penjara Kajang dan hilang kelayakannya sebagai Ahli Parlimen selama lima tahun walaupun dia merupakan Ahli Parlimen Kota Melaka, kerana mempertahankan maruah seorang gadis Melayu bawah umur?
Bagaimana boleh saya jadi seorang anti-Islam apabila saya telah isytiharkan di Parlimen berkali-kali, sepanjang 11 penggal saya menjadi Ahli Parlimen, mengenai penerimaan saya terhadap agama Islam sebagai agama rasmi di Malaysia, walaupun Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan tidak ada menyebut apa-apa mengenai “agama rasmi” dan memperuntukkan kebebasan beragama untuk kepercayaan-kepercayaan lain?
Saya tidak menolak anugerah dan darjah yang diberikan, tetapi pendirian saya adalah, seorang ahli politik yang sedang berkhidmat secara aktif tidak patut menerima anugerah-anugerah dan darjah-darjah ini. Apabila Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong berhasrat untuk menganugerahkan darjah Tan Sri kepada saya selepas persaraan saya dari politik aktif, saya tidak berkeberatan untuk menerima anugerah ini.
Mengenai penipuan yang mengatakan kononnya saya mencetuskan rusuhan 13 Mei 1969 di Kuala Lumpur, saya tidak pernah berada di Kuala Lumpur pada 11, 12, dan 13 Mei 1969 memandangkan saya sedang berada di Kota Kinabalu pada 13 Mei 1969 untuk membantu seorang calon bebas di Sabah dalam Pilihan Raya Umum 1969 kerana hari mengundi untuk Sabah dan Sarawak diadakan lebih lewat berbanding dengan Semenanjung Malaysia.
Mengenai fitnah yang kononnya saya seorang komunis, kelihatan seperti orang sudah lupa yang pihak komunis mahu saya untuk kalah dalam pilihan raya umum di kawasan Bandar Melaka pada tahun 1969 di mana mereka telah melancarkan satu kempen untuk memboikot pilihan raya umum ini. Saya perlu berterima kasih kepada Ketua Polis Negara yang paling lama berkhidmat, Tun Hanif Omar, yang berjaya mendapatkan satu dokumen polis dinyahrahsiakan semasa saya menyamannya kerana fitnah – dokumen soal siasat polis terhadap saya semasa saya ditahan di Balai Polis Kuala Selangor untuk 60 hari pertama penahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) saya di mana saya telah katakan yang komunisme tidak sesuai untuk masyarakat majmuk seperti di Malaysia.
Isunya, di era media sosial, amat mudah untuk penipuan, fitnah, berita palsu, dan ucapan kebencian untuk tersebar seperti api yang marak, tetapi persoalannya, mengapakah pemimpin politik seperti Presiden PAS, Hadi Awang, memilih untuk menunjukkan tauladan yang buruk dengan menyebarkan penipuan, fitnah, berita palsu, dan ucapan kebencian sebegini?
Saya masih menunggu Hadi untuk memberikan bukti terhadap fitnah-fitnahnya yang mengatakan kononnya saya ini anti-Melayu, anti-Islam, anti-Raja, pencetus rusuhan 13 Mei 1969 di Kuala Lumpur, dan kononnya seorang komunis dari 58 tahun kerja-kerja politik saya.
Saya telah berikan Hadi bukan sahaja berbulan-bulan, malah bertahun untuk membuktikan tuduhan-tuduhan ini, tetapi setakat ini dia masih gagal.
Adakah Hadi ini boleh dipercayai?