DAP mengalu-alukan pengumuman Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin yang mengumumkan pelantikan Ahli Parlimen Bukit Mertajam Steven Sim sebagai penyelaras COVID-19 antara Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan Kerajaan Pusat, yang akan sentiasa mendapat kerjasama lanjut daripada Menteri Kesihatan. Pelantikan Steven Sim ini diperlukan untuk mencari usaha bersama bagi mematahkan kenaikan jangkitan COVID-19 sehingga menyebabkan Pulau Pinang mencatat antara jangkitan, kematian, penggunaan katil ICU dan ventilator per kapita tertinggi di Malaysia.
Sejak sekian lama, Pulau Pinang telah gagal menyelesaikan atau mengatasi peningkatan jangkitan dan kematian. Walaupun barisan hadapan melakukan pekerjaan yang luar biasa tetapi tidak dapat mengatasi kemarahan rakyat yang semakin meningkat kerana sumber dan tenaga kerja yang tidak mencukupi. Rasa tidak puas hati rakyat juga secara tidak adil merebak kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan khususnya EXCO Kesihatan Negeri Pulau Pinang kerana dilihat tidak berdaya melakukan sesuatu ketika rakyat Pulau Pinang menderita dan meninggal dunia tanpa mendapat sebarang bantuan daripada Pusat Penilaian COVID-19 (CAC), tidak ada jawapan untuk talian telefon hotline, tidak ada ambulans yang tiba ketika dipanggil dan bilangan katil ICU tidak mencukupi.
Penyebaran COVID-19 dalam komuniti sangat kritikal terutamanya dengan kepadatan penduduk Pulau Pinang yang tinggal di persekitaran tertutup. Saya ingin memuji Menteri Kesihatan dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow kerana menyedari betapa seriusnya keadaan COVID-19 di Pulau Pinang dan menerima cadangan saya untuk menyelesaikan masalah ini dengan melantik Steven sebagai Penyelaras COVID-19 yang dapat membolehkan kita bersama-sama menang dalam pertempuran melawan COVID-19 ini.
Steven Sim menggariskan enam perkara yang ingin difokuskannya sebagai Penyelaras COVID-19 Kerajaan Negeri-Persekutuan, iaitu menambah kapasiti sistem penjagaan kesihatan; mengurangkan masa respon bagi pesakit COVID-19 untuk mendapatkan perkhidmatan kesihatan; penilaian dan penguatkuasaan risiko yang lebih cekap terutama di kilang-kilang; memastikan bekalan vaksin yang stabil agar 100 peratus penduduk dewasa Pulau Pinang diberi vaksin lengkap bulan depan; memastikan penjagaan kesihatan bagi mereka yang berada di bawah kuarantin rumah untuk mengurangkan jumlah kes kematian “Brought-In-Dead”, dan lebih ketelusan dalam statistik harian COVID-19 Pulau Pinang.
Steven mempunyai tugas yang besar untuk cuba melakukan perubahan terhadap keadaan sekarang. Dengan sokongan baik daripada Khairy dan Chow, serta memanfaatkan kepakaran profesional sektor perubatan swasta, perubahan dalam cara mengurus COVID-19 mungkin berjaya. Memenangi pertempuran melawan COVID-19 untuk menyelamatkan nyawa dan mata pencarian rakyat bukan hanya memerlukan landasan bersama tetapi juga usaha keseluruhan masyarakat untuk kebaikan semua.