Saya terkejut apabila mengetahui bahawa Timbalan Yang DiPertua, Dato’ Mohd Rashid bin Hasnon telah menolak pencalonan yang di buat oleh Dato’ Seri Ahmad Zahid, Ahli Parlimen Bagan Datoh, Perak bahawa Dato’ Seri Azalina Othman menjadi Yang DiPertua Dewan Rakyat. Dato’ Seri Ahmad Zahid mesti mengemukakan usul di bawah Perintah Tetap 43 Perintah-Perintah Tetap Dewan Rakyat untuk membatalkan keputusan Timbalan Yang DiPertua tersebut . Sebelum ini Dato’ Mohd Rashid juga telah menolak usul Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi bin Mohamed Fadzil untuk membuang Dato ’Azhar Azizan Harun sebagai Yang DiPertua. Tindakan – tindakan Dato’ Mohd Rashid ini merupakan satu penghinaan kepada institusi demokrasi tertinggi negara kita.
Tugas Yang DiPertua dan Timbalan Yang DiPertua adalah untuk mempengerusikan dan memastikan kelancaran sidang Parlimen. Mereka memegang jawatan-jawatan mereka melalui pemilihan yang dibuat oleh Ahli-ahli Parlimen. Sekiranya ahli-ahli Parlimen menyusulkan apa-apa perubahan untuk menukar Yang DiPertua dan/atau Timbalan Yang DiPertua, Yang DiPertua dan Timbalan Yang DiPertua tidak mempunyai apa – apa kuasa untuk menolak cadangan perubahan yang dikemukakan.
Dato’ Mohd Rashid telah melakukan satu salah laku besar sebagai seorang Timbalan Yang DiPertua.
Oleh kerana terdapat 2 calon untuk jawatan Yang DiPertua iaitu Dato’ Azhar Azizan Harun dan Dato’ Seri Azalina Othman dan 2 calon untuk jawatan Timbalan Yang DiPertua iaitu Datuk Seri Ahmad bin Mazlan dan Nga Kor Ming, satu pemilihan mesti dijalankan. Mana-mana budak sekolah pun tahu perlunya proses pemilihan ini. Sekiranya Yang di-Pertua dan Timbalan Yang di-Pertua tidak memahami peraturan asas demokrasi ini, mereka harus segera meletakkan jawatan.
Jawatan Yang di-Pertua dan Timbalan Yang di-Pertua adalah jawatan-jawatan terhormat yang disanjung tinggi di dalam negara dan juga di peringkat antarabangsa. Oleh itu, setiap Yang DiPertua dan Timbalan Yang DiPertua perlu bertindak secara terhormat dalam setiap tingkah laku mereka. Mereka harus meletak jawatan dan tidak terus berpegang kepada jawatan mereka apabila mereka mengetahui bahawa keadaan tidak lagi mengizinkan. Kita mesti meneruskan tradisi sihat ini dengan senantiasa bertindak secara terhormat. Atas sebab itulah, saya telah meletak jawatan sebagai Yang DiPertua Dewan Negeri Perak pada 12 Mei 2020 apabila beberapa wakil rakyat daripada Pakatan Harapan telah berpaling dada menukar sokongan kepada pihak yang lain dan juga Ahli Parlimen Teluk Intan, Nga Kor Ming telah meletak jawatan pada 13hb Julai 2020 sebagai Timbalan Yang DiPertua Dewan Rakyat apabila beberapa Ahli Parlimen Pakatan Harapan telah menukar sokongan kepada pihak yang lain.
Kami juga ingin melihat semua Ahli Parlimen bertindak secara terhormat supaya negara kita dapat dihormati. Kita mesti berpegang kepada apa yang kita katakan. Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Mahiadin Yassin, mantan Perdana Menteri telah menyatakan bahawa beliau tidak akan menerima atau menyokong ahli-ahli Parlimen yang didakwa melakukan kesalahan-kesalahan jenayah di mahkamah. Kumpulan ini yang juga dipanggil kluster mahkamah. Adakah beliau akan memilih Datuk Seri Ahmad bin Maslan yang merupakan sebahagian daripada kluster mahkamah ini untuk jawatan Timbalan Yang DiPertua atau beliau akan bersetuju dengan Yang DiPertua Dewan Negara, Tan Sri Rais Yatim bahawa calon timbalan Yang DiPertua tidak seharusnya mereka yang mempunyai kes-kes jenayah terhadapnya. Kami menunggu untuk melihat samada Tan Sri Mahiaddin Yassin akan berpegang kepada kata-katanya.