Skip to content

DAP mengalu-alukan pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak bahawa suatu persefahaman telah dicapai dengan kumpulan pemisah pro-Rusia

DAP mengalu-alukan pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak bahawa suatu persefahaman telah dicapai dengan kumpulan pemisah pro-Rusia di Ukraine untuk mengembalikan jenazah mangsa-mangsa nahas pesawat MH17 serta kota hitamnya kembali ke Malaysia. Najib memberitahu bahawa perjanjian telah dibuat dengan Alexander Borodai, yang mengakui dirinya sebagai Perdana Menteri mengetuai puak pemisah Timur Ukraine yang mengawal daerah Donestk di mana MH17 terhempas.

Borodai juga memberi jaminan bahawa pasukan penyiasat antarabangsa akan diberi kebenaran masuk ke tapak nahas. DAP bersetuju dengan Najib bahawa di kawasan konflik dengan pihak berkuasa bertelagah, menggunakan saluran diplomatik secara senyap adalah cara yang baik demi mencapai keputusan yang dikehendaki.

DAP bersedia untuk bersama-sama Kerajaan Persekutuan dan menyokong usaha mereka untuk membawa pulang jenazah mangsa kepada keluarga masing-masing supaya majlis pengkebumian yang sempurna boleh dijalankan, serta memastikan siasatan rapi dilakukan demi menjamin keadilan ditegakkan terhadap mereka yang bertanggungjawab di atas kehilangan nyawa yang berlaku.