Saya mengecam kekeras-kerasnya tindakan tidak demokratik pihak polis mendapatkan perintah mahkamah untuk menghalang perhimpunan aman yang akan berlangsung di Kota Kinabalu pada 1 Mei ini kerana ia bertentangan dengan hak berhimpun yang termaktub dalam perlembagaan negara.
Merujuk kepada laporan media, Ketua Polis Bandaraya ACP M.Chandra berkata perintah mahkamah majistret meliputi lima kawasan terbuka di Bandar ini iaitu Padang Merdeka, City Park, Segama Waterfront, Dataran Bandaraya dan Taman Chong Thien Vun dan kawasan sekitarnya. Tiada siapa dibenarkan memasuki kawasan ini.
Tindakan tersebut tidak boleh diterima dan tidak wajar. Tindakan polis terhadap pihak penganjur himpunan aman dan orang ramai merupakan satu tindakan yang membuktikan Malaysia sebagai ‘negara polis’ dimana kebebasan dan hak rakyat disekat.
Pengharaman untuk berhimpun secara aman ini jelas tidak menghormati demokrasi dan kebebasan yang dinikmati rakyat selama ini. Amat sedih dan mengecewakan melihat pihak polis bertindak tidak waras dengan memberi tekanan terhadap rakyat biasa yang hanya mahu menggunakan hak mereka menyuarakan suara hati mereka secara bebas tanpa rasa takut.
Jelasnya lanjut, pihak polis telah bertindak melampau dengan menghalang segala aktiviti di kawasan tersebut dari 27 April hingga 4 Mei walhal pihak penganjur hanya memohon untuk penggunaan padang selama 2 jam sahaja. Adakah wajar untuk mendapatkan injunksi mahkamah? Kenapa pihak polis kelihatan terlalu takut dengan perhimpunan aman? Tindakan pihak polis kali ini seolah-olah tiada bezanya dari sebuah negara Komunis! Pihak polis sebagai penjawat awam perlu memberi khidmat menjaga keselamatan rakyat!
Pihak polis Kota Kinabalu telah menaikkan papan-papan notis perintah mahkamah untuk menghalang 16 orang pemimpin politik begitu juga dengan aktivis dan pihak penganjur termasuk rakan seperjuangan saya Jimmy Wong Ahli Parlimen Kota Kinabalu dan Dr Edwin Bosi ADUN Kepayan.
Apa yang berlaku kini menunjukkan undang-undang seperti Akta Perhimpuann Aman, Akta Pencegahan Keganasan begitu juga dengan Akta Hasutan telah mencabul kebebasan rakyat yang memberi polis kuasa penuh untuk menghukum rakyat tanpa alasan kukuh. Sebab itulah Ahli-ahli Parlimen Pakatan Rakyat sentiasa konsisten dan berulang kali membantah undang-undang tersebut.
Saya menggesa pihak polis supaya berhenti dari mengganggu rakyat untuk melaksanakan hak mereka yang telah terjamin dalam perlembagaan. Dari terus menekan rakyat, adalah jauh lebih mulia dan bermanfaat jika pihak polis membantu memudahkan himpunan aman tersebut.