Skip to content

Halang perhimpunan aman Mayday Sabah cabul semangat perlembagaan persekutuan

Larangan pihak polis dengan mengeluarkan Notis Mahkamah Perintah Larangan Berhimpun pada 27 April 2015 kepada pihak penganjur Bersih Sabah dan beberapa orang pemimpin politik serta orang ramai berada di lima lokasi sekitar Bandar Kota Kinabalu merupakan pencabulan terang-terangan terhadap Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan yang menjamin hak berhimpun secara aman.

Lebih menyedihkan, pihak polis juga memberi amaran mereka yang didapati berada di Padang Merdeka pada tarikh tersebut akan ditahan dan perlu membuktikan sebab dia hadir di tempat tersebut.

DAP Sabah memandang serius dan berasa kesal terhadap tindakan pihak berkuasa yang membelakangi semangat demokrasi menghalang penganjur dan orang ramai untuk meraikan Himpunan MayDay yang dijadualkan berlangsung di Padang Merdeka Kota Kinabalu pada 1 Mei ini dijangka berlangsung pada jam 3 hingga 5 petang.

Saya berasa hairan dengan halangan ini kerana di dalam Akta Perhimpunan Aman 2012 permit polis tidak diperlukan untuk menganjurkan perhimpunan aman tetapi hanya dengan memberi notis 10 hari. Tiada sebab kukuh himpunan aman MayDay ini di halang.

Sebagai MP Kota Kinabalu, adalah sangat ironi saya tidak boleh berada di kawasan-kawasan tertentu yang saya wakili. Adakah kita sudah tidak boleh bersuara, menunjukkan solidariti dan meraikan 1 Mei bersama-sama?

Dengan pelbagai isu yang melanda negara seperti kenaikan kos hidup rakyat akibat GST, isu 1MDB, hutang negara yang makin bertambah, penurunan nilai ringgit dan sebagainya yang membebankan rakyat biasa, dimana kewajaran pihak berkuasa menghalang kita dari bersuara mengikut lunas undang-undang?

Di Sabah pula, BN telah terbukti gagal menangani isu-isu tempatan yang telah lama menjadi duri dalam daging seperti isu kemiskinan, IC palsu, kebanjiran PATI, laporan RCI, pembangunan infrastruktur di kawasan pedalaman, isu pembalakan haram dan sebagainya.

DAP Sabah sentiasa menyokong sebarang usaha demi menyemarakkan demokrasi di Malaysia khususnya di Sabah. Rakyat harus dibela dan perlu diberi ruang untuk bersuara selari dengan Perlembagaan Persekutuan. Sebarang usaha untuk menyekat suara rakyat merupakan suatu pencabulan terhadap hak dan semangat Perlembagaan Persekutuan.