1. DAPSY menggesa Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, mengambil pendirian yang jelas dan tegas dengan mengarahkan Universiti Malaya (UM) menarik balik segala tindakan undang-undang terhadap Liga Mahasiswa UM, sebuah organisasi mahasiswa, demi mempertahankan kebebasan bersuara dan berekspresi mahasiswa.
2. Susulan daripada pendedahan bahawa pihak UM menghantar surat tuntutan atau Letter of Demand (LOD) bagi melarang sebuah organisasi mahasiswa menggunakan nama universiti, kenyataan Menteri Pendidikan Tinggi yang sekadar menyeru kedua-dua pihak menyelesaikan kemelut ini secara rundingan. DAPSY berpendapat bahawa kenyataan KPT tersebut terlalu kabur dan tidak secara langsung mempertahankan hak asas mahasiswa untuk bersuara dan berpersatuan.
3. Memandangkan Menteri KPT sendiri mengakui bahawa perkara ini tidak sepatutnya dipanjangkan sehingga ke peringkat tindakan undang-undang, KPT tidak wajar terus mengambil sikap dan pendekatan yang kurang jelas. Sebaliknya, kementerian harus mengarahkan pihak universiti supaya menarik balik surat peguam tersebut sebagai tanda menghormati kebebasan bersuara dan berpersatuan dalam kalangan mahasiswa.
4. DAPSY percaya bahawa universiti seharusnya menjadi institusi ilmu dan ruang pertembungan idea yang menggalakkan perbincangan intelektual serta meraikan kepelbagaian pandangan, bukannya bertindak menggunakan saluran undang-undang terhadap mana-mana individu atau gerakan mahasiswa.
5. Dalam zaman pentadbiran kerajaan sebelum ini, pihak pentadbiran UM dan universiti awam lain sering menggunakan peruntukan undang-undang, terutamanya Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU), bagi menekan gerakan mahasiswa. Tindakan terbaharu yang menggunakan saluran perundangan untuk mengugut pelajar hanya menambahkan lagi kebimbangan masyarakat terhadap pendekatan autoritarian yang mengekang kebebasan mahasiswa.
6. Sebagai universiti tertua di negara ini, tindakan UM menghantar surat peguam kepada organisasi mahasiswa serta mengenakan tempoh singkat untuk menandatangani surat janji bersetuju jelas mencerminkan ketidakseimbangan dari segi kuasa dan sumber. Tindakan ini seolah-olah cuba memaksa pelajar untuk berdiam diri atau tunduk kepada tekanan.
7. DAPSY menegaskan bahawa semua organisasi atau badan mahasiswa, sama ada telah berdaftar secara rasmi atau tidak, tetap memainkan peranan penting dalam ekosistem universiti. Penglibatan pelajar dalam menyuarakan pandangan, membincangkan isu kampus serta mengambil bahagian dalam urusan masyarakat merupakan sebahagian daripada amalan demokrasi kampus yang sihat.
8. Institusi pengajian tinggi memikul tanggungjawab penting dalam melahirkan pemimpin masa depan, maka persekitaran universiti yang sihat seharusnya menggalakkan mahasiswa mengemukakan pandangan secara kritis dan mengambil bahagian dalam wacana awam, bukannya mengekang suara mereka melalui ancaman undang-undang.
9. Apabila universiti memilih untuk menggunakan surat peguam sebagai alat tekanan, ia hanya akan mewujudkan kesan ‘chilling effect’ dalam kampus, di mana mahasiswa akan berasa takut untuk bersuara kerana bimbang berdepan risiko undang-undang.
10. Sehubungan itu, DAPSY sekali lagi menggesa KPT memandang serius perkara ini dan segera mengarahkan pihak pengurusan UM menarik balik tindakan undang-undang tersebut, di samping menegaskan kepentingan menghormati kebebasan bersuara mahasiswa agar insiden sama tidak berulang.
11. Universiti hanya mampu melahirkan graduan yang berfikiran kritis dan berdaya saing apabila kebebasan akademik, keterbukaan serta saling menghormati terus dipertahankan dalam ekosistem pendidikan tinggi negara.