Skip to content

DAPSY Kebangsaan mendesak MCA dan Gerakan untuk membuat deklarasi pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU)

DAPSY Kebangsaan mendesak MCA dan Gerakan untuk membuat deklarasi pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) yang menjamin kebebasan akademik serta mengembalikan autonomi kampus kepada pimpinan mahasiswa/wi pada Perhimpunan MCA-Gerakan Teguh Bersama yang akan diadakan pada 6 Januari 2018.

Difahamkan bahawa kedua-dua parti komponen Barisan Nasional (BN) tersebut akan mengadakan perhimpunan buat julung kali selepas kedua-dua parti itu ditolak oleh majoriti rakyat dalam pilihan raya yang lalu.

Daripada sibuk mengeratkan hubungan antara kedua-dua parti yang sebenarnya tidak membawa kebaikan kepada rakyat, MCA berserta Gerakan sepatutnya memfokuskan isu yang dihadapi oleh pimpinan mahasiswa memandangkan bahawa MCA dan Gerakan kelihatannya begitu berdedikasi dalam membantu Persatuan Bahasa Cina Universiti Malaya (PBCUM) untuk merendahkan diri demi merayu Bahagian Hal Ehwal Pelajar Universiti Malaya (HEPA UM) untuk menarik balik keputusan penggantungan PBCUM yang berkuatkuasa selama satu semester.

Sesungguhnya varsiti adalah milik kepada para mahasiswa/wi dan mahasiswa/wi sepatutnya memegang autonomi kampus dan menjalankan sebarang aktiviti tanpa sebarang halangan. Perihal sebegini adalah amat lumrah pada tahun 1960-an yakni sebelum wujudnya AUKU. Ketika itu, University of Malaya Students’ Union (UMSU) merupakan pentadbir varsiti dan semua pertubuhan mahasiswa adalah memiliki autonomi kewangan masing-masing dan bebas untuk mengadakan sebarang aktiviti tanpa dibelenggu oleh pelbagai kerenah birokrasi seperti kini. Selepas AUKU yang berniat untuk melenyapkan gerakan mahasiswa diluluskan oleh UMNO MCA di dalam Parlimen, mahasiswa telah mula kehilangan autonomi dalam segala aspek pentadbiran kampus dan agen kerajaan iaitu HEPA telah diwujudkan demi mengawal segala tindak-tanduk warga kampus dan boneka pelajar rejim UMNO BN melalui pelbagai jelmaan nama seperti Aspirasi ataupun Penggerak telah dilahirkan demi memenuhi keperluan politik rejim UMNO BN.

Oleh itu, segala masalah adalah berpunca daripada kewujudan dan pelaksanaan AUKU yang mengekang hak mahasiswa untuk mentadbir kampus secara bebas serta mengadakan aktiviti tanpa sebarang halangan.

DAPSY ingin bertanyakan MCA dan Gerakan sama ada kedua-dua parti komponen BN ini bersedia untuk membelakangi UMNO demi mencapai deklarasi pemansuhan AUKU yang telah menyebabkan masalah seperti penzaliman pemimpin mahasiswa serta isu pembekuan PBCUM?

Adakah MCA dan Gerakan bersedia untuk berhenti menghambakan diri di depan UMNO dan menunjukkan keberanian mereka yang tidak pernah wujud sesekalipun di depan 1,800 ahli kedua-dua parti pada 6 Januari demi hak mahasiswa/wi yang semakin terhakis di bawah pemerintahan rejim UMNO BN?

Sebagai sebahagian dalam kalangan kerajaan persekutuan, sekiranya MCA dan Gerakan tidak berupaya untuk menghapuskan undang-undang rimba yang menatijahkan berlakunya segala masalah yang membelenggu mahasiswa/wi, hal ini bermakna MCA dan Gerakan tidak lagi diperlukan dalam arena politik dan wajib ditolak sepenuhnya oleh rakyat jelata khususnya mahasiswa/wi dalam pilihan raya yang akan datang.