Janji kosong merupakan amalan atau budaya politik Barisan Nasional yang tidak boleh dinafikan. Banyak janji-janji kosong ditaburkan untuk memikat hati rakyat terutamanya pada musim pilihanraya.
Pada tahun 2011, sewaktu kempen pilihanraya kecil DUN Merlimau, Barisan Nasional telah berjanji membina bangunan baru untuk SJKT Ladang Jasin Lalang, Melaka. Sehingga hari ini tidak ada apa-apa tanda bahawa kerajaan akan membina bangunan baru itu. Setiap kali isu ini dibangkitkan, kerajaan memberi pelbagai alasan. Tetapi, alasan-alasan yang diberi itu adalah muslihat untuk menipu masyarakat India semata-mata.
Dalam sandiwara ini, pemimpin MIC menjadi pelakon atau watak utama dalam usaha mengelirukan dan memperbodohkan masyarakat India selama 7 tahun. Akhirnya, ibubapa yang sedar akan keadaan ini telah bangkit dan membantah pada hari pertama sekolah. Mereka telah berhimpun beramai-ramai menuntut keadilan di hadapan sekolah tersebut. Anak-anak mereka tidak memasuki bangunan lama yang telah dimakan anai-anai sebagai tanda protes.
Adakah perhimpunan dan bantahan ini akan membuka mata Kementerian Pendidikan? Timbalan Menteri Pendidikan Datuk Kamalanathan pernah berjanji bahawa sekolah baru akan siap dibina pada tahun 2018. Tetapi, sehingga kini tidak ada apa-apa inisiatif diambil untuk membina sekolah tersebut. Janji kekal sebagai janji kosong.
Sering kali sekolah Tamil menjadi mangsa ‘janji kosong’ kerajaan Barisan Nasional. Ini kerana, pemimpin-pemimpin kerajaan Barisan Nasional termasuk MIC menganggap bahawa masyarakat India adalah golongan yang mudah untuk ditipu. MIC akan membawa adengan baru untuk menutup kesilapannya dalam hal ini.
Saya menasihatkan kepada semua ibubapa yang menghantar anak mereka ke SJKT Ladang Jasin Lalang untuk terus berjuang menuntut hak yang dijanjikan itu. Jangan lena sehingga kita berjaya mendapatkan bangunan baru untuk SJKT Ladang Jasin Lalang. Ini adalah satu perjuangan murni demi masa hadapan anak-anak kita.