Skip to content

DAPSY membidas KPT menyekat kebebasan politik mahasiswa melalui pelaksanaan Peraturan Universiti Baharu

Saya mengecam kerajaan dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) atas perancangan untuk melaksanakan Peraturan-Peraturan Universiti (Pelajar Berpolitik Di Dalam dan Di Luar Kampus) dalam universiti untuk tujuan menyekat kebabasan politik mahasiswa yang dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan.

Baru-baru ini, KPT mengadakan sesi townhall di Universiti Malaya dan membentangkan draf Peraturan-Peraturan Universiti (Pelajar Berpolitik Di Dalam dan Di Luar Kampus) yang menyentuh hak mahasiswa untuk menyertai politik. Antara klausa Peraturan tersebut termasuk mahasiswa tidak dibenarkan menganjurkan ceramah, seminar, atau aktiviti seumpamanya yang berkaitan politik; tidak dibenarkan mendirikan binaan atau replika yang berkait dengan simbol parti politik; serta perlu sentiasa memelihara “kesopanan”, “keharmonian”, dan “kesentosaan” semasa melakukan apa-apa aktiviti politik.

DAPSY membidas KPT kerana tidak menghormati Perlembagaan yang sememangnya telah menjamin hak mahasiswa untuk menyertai politik serta sengaja mengelakkan proses perundangan dengan memperkenalkan Peraturan-Peraturan Universiti (Pelajar Berpolitik Di Dalam dan Di Luar Kampus). Tindakan tersebut disyaki adalah usaha baharu KPT dan UMNO untuk mewujudkan semula suasana bungkam dan takut bersuara dalam kampus serta mengekang kebebasan mahasiswa untuk menyertai politik.

Setelah kerajaan BN-UMNO tumbang pada tahun 2018, kerajaan Pakatan Harapan telah meminda Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) demi menjamin hak mahasiswa untuk menyertai politik. Namun, kerajaan BN-PN ingin melaksanakan Peraturan baharu untuk tujuan mengekang kebebasan berpolitik mahasiswa dan menghalang lebih ramai mahasiswa untuk menyuarakan pendapat dan bantahan terhadap kegagalan kerajaan.

Beberapa hari yang lepas, UMNO Selangor telah mencadangkan tiga orang “calon think-tank”, yang mana salah seorang adalah Prof. Dr. Haim Hilman selaku Naib Canselor Universiti Utara Malaysia, bagi membantu BN untuk merampas kuasa kerajaan Negeri Selangor. Kini, KPT pula ingin membelakangi Perlembagaan dan proses perundangan dengan melaksanakan Peraturan Universiti yang bertujuan menyekang kebebasan politik mahasiswa. Semua tindakan tersebut mencerminkan hasrat BN untuk sekali lagi menyekat kebebasan politik, mengekang autonomi universiti, serta menghalang para mahasiswa untuk terus mengkritik dan membantah polisi-polisi kerajaan yang gagal.

Sehubungan dengan itu, draf Peraturan Universiti tersebut juga mengandungi banyak terma yang mana definisinya terlalu luas, termasuk klausa yang memerlukan mahasiswa untuk memelihara “kesopanan”, “keharmonian”, dan “kesentosaan” semasa melakukan apa-apa aktiviti politik. Peraturan sebegini akan menjurus kepada salah guna kuasa, di mana pihak kerajaan dan universiti boleh membuat tafsiran dengan sewenang-wenangnya untuk mengambil tindakan disiplin terhadap mahasiswa yang berani bersuara.

Sebelum rakyat melakar sejarah dengan menumbangkan kerajaan BN-UMNO pada tahun 2018, pengurusan universiti yang dikawal oleh BN sering kali menyalahgunakan AUKU dan peraturan universiti untuk membuat tafsiran sendiri, menyiasat, dan menekan mahasiswa yang berani bersuara. Sekirannya Peraturan-Peraturan Universiti (Pelajar Berpolitik Di Dalam dan Di Luar Kampus) dikuat kuasakan, kerajaan dan pengurusan universiti akan diberi ruang yang lebih luas untuk menyalahgunakan akta dan peraturan bagi mengembalikan zaman gelap dan mengancam prinsip “Demokrasi Universiti”, dan “Autonomi Mahasiswa”.

Universiti seharusnya menjadi institusi yang menggalakkan kebebasan berfikir, pemikiran kritikal, dan mencari kebenaran. Maka, DAPSY mendesak kerajaan dan KPT agar membatalkan pelan melaksanakan Peraturan-Peraturan Universiti (Pelajar Berpolitik Di Dalam dan Di Luar Kampus), berhenti segala campur tangan politk dalam kebebasan akademik dan hak asasi mahasiswa, serta mengerakkan semula usaha untuk memansuhkan AUKU demi memulangkan demokrasi universiti dan kuasa autonomi kepada para mahasiswa.