Skip to content

Speaker Dewan Negara gariskan 3 syarat membenarkan usul bahas laporan PAC tentang skandal LCS, Dewan Rakyat harus segera adakan sidang khas berdasarkan petua yang sama

Hari ini merupakan hari yang bersejarah apabila Yang DiPertua Dewan Negara, Tan Sri Dr. Rais Yatim membenarkan usul daripada Senator Lim Hui Ying untuk membahaskan laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) berkaitan skandal LCS RM 9.1286 Bilion.

Tahniah diucapkan kepada Yang DiPertua Dewan Negara dan para Senator kerana telah memartabatkan Dewan Negara sebagai tempat membangkitkan isu-isu berkepentingan rakyat dan menjadi semak imbang terhadap kerajaan.

Satu minggu yang lalu saya telah menggesa Perdana Menteri memanggil sidang khas Parlimen untuk membahaskan laporan PAC tersebut. Kini dengan duluan (precedent) oleh Dewan Negara, tiada sebab mengapa Dewan Rakyat tidak boleh bersidang segera untuk membahaskan isu yang penting ini.

Dalam petua yang dikeluarkan Yang DiPertua Dewan Negara, beliau telah menggariskan tiga syarat utama membenarkan usul membahas laporan PAC tentang skandal LCS, iaitu, pertama, perkara ini merupakan perkara tertentu ataupun spesifik, kedua perkara ini berkepentingan orang ramai kerana melibatkan keselamatan negara dan ketiga, perbahasan perkara ini berkehendak untuk disegerakan.

Justeru, berdasarkan petua yang sama, Dewan Rakyat harus segera bersidang untuk membahaskan isu yang amat kritikal ini.