Skip to content

Perbahasan oleh Senator Lim Hui Ying tentang usul LCS di Dewan Negara

Tan Sri Yang Di Pertua,

Terima kasih atas peluang untuk membentangkan usul mengikut Peraturan Mesyuarat 17(1) berhubung Laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) tentang perolehan Littoral Combat Ship (LCS) bagi Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di bawah Kementerian Pertahanan Malaysia.

Sebelum saya mula, izinkan saya merakamkan penghargaan kepada Tan Sri Yang DiPertua kerana membenarkan usul ini bagi mengembalikan martabat Dewan Negara sebagai wadah membicarakan isu yang penting kepada rakyat.

Laporan pendedahan oleh PAC ini melibatkan pengurusan aset-aset pertahanan negara, justeru bukan sahaja berkaitan wang cukai rakyat malah berkait rapat dengan keselamatan serta kedaulatan negara kita.

Malangnya, ini bukan kali pertama tentera kita menjadi mangsa masalah rasuah dan penyelewengan. Saya tidak perlu mengungkit kembali secara panjang lebar kes kecurian dua enjin jet bernilai RM100 juta [1], kontrak kapal selam bernilai RM3 bilion yang bermasalah [2], penerimaan 6 helikopter tentera bernilai lebih RM300 juta yang tertangguh selama 4 tahun [3], dan hanya 4 daripada 28 jet pejuang buatan Rusia milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang mampu beroperasi dengan baik [4] .

Kini negara dikejutkan lagi dengan pendedahan tentang kepincangan dalam perolehan 6 buah LCS yang melibatkan RM9.1286 bilion. RM6.083 bilion telah pun dibayar dan sepatutnya, menjelang bulan ini, kita menerima 5 daripada 6 buah kapal LCS tersebut. Malangnya, sehingga sekarang sebuah kapal pun belum diterima. Malah kapal LCS1 yang sepatutnya siap dan diserahkan pada April 2019 masih berada pada tahap kemajuan fizikal 44% mengikut laporan PAC tersebut.

Musuh di luar belum terlawan, kita sudah tewas di tangan pengkhianat orang dalam.

Tan Sri Yang Di Pertua,

Skandal perolehan LCS ini sebenarnya boleh elakkan. Mengikut laporan PAC, TLDM telah menyatakan kekhuatiran, menegur, malah memberi amaran sejak awal lagi kepada kerajaan termasuk kepada Menteri Pertahanan Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Perdana Menteri Dato’ Seri Najib Razak ketika itu.

Namun kerajaan tidak mengendahkan amaran yang diberi oleh Panglima Angkatan Tentera Laut sehingga mencapai tahap krisis masa kini.


Saya akan senaraikan di sini 5 kepincangan dalam skandal LCS ini dan akan mengakhiri usul saya dengan cadangan penyelesaian.

1. Campur tangan Menteri dalam pemilihan kontraktor

Antara komponen utama dalam projek LCS ialah reka bentuk kapal. Bagi menentukan reka bentuk kapal LCS, TLDM telah mengadakan 6 kali mesyuarat dengan pihak kementerian dari Oktober 2010 sehingga Mei 2011. Mesyuarat dihadiri Panglima Tentera Laut sendiri [5]. Pada 24 Mei 2011, Menteri Pertahanan ketika itu, Ahmad Zahid Hamidi telah bersetuju dengan cadangan TLDM untuk menggunakan rekabentuk SIGMA daripada syarikat Damen Shipyards [6].

Namun, tanpa pengetahuan TLDM, pada 11 Julai 2011, Menteri Pertahanan telah mengubah rekabentuk tersebut kepada jenis GOWIND daripada syarikat Perancis bernama Naval Group [7].

TLDM tidak bersetuju dan membantah perubahan tersebut.

Pada 26 September 2011 Menteri Pertahanan sekali lagi mengubah keputusan TLDM dengan menukar Sistem Pengurusan Tempur (Combat Management Sistem) [8] daripada jenis TACTICOS iaitu sistem yang sedia digunapakai oleh kapal-kapal TLDM lain [9], kepada sistem jenis SETIS daripada syarikat Perancis yang sama.

TLDM juga tidak bersetuju dan membantah perubahan ini. Sistem yang dipilih Menteri bukan sahaja lebih mahal, dan belum dibangunkan sepenuhnya malah tidak sepadan dengan kebanyakan peralatan pilihan TLDM.

Mantan Panglima Tentera Laut Laksamana Tan Sri Dato’ Sri Dr. Abdul Aziz bin Jaafar telah menghantar 10 pucuk surat untuk membantah dan menegur termasuk 5 pucuk surat kepada Menteri Pertahanan dan 2 pucuk surat kepada Perdana Menteri [10].

Jelas di sini kerajaan terutamanya Menteri Pertahanan telah menyalahguna kuasa dengan mengenepikan pandangan TLDM.

2. Syarikat Perancis yang bermasalah dilantik sebagai syarikat pembekal

Tan Sri Yang DiPertua,

Syarikat Perancis Naval Group yang dipilih oleh Menteri Pertahanan sebenarnya sebelum ini dikenali sebagai DCNS.

Bermula tahun 2010, DCNS telah disiasat dan didakwa di Mahkamah Perancis atas pertuduhan rasuah melibatkan pembelian dua buah kapal selam Scorpene dan sebuah kapal selam Agosta oleh kerajaan Malaysia bernilai RM5.1 bilion pada tahun 2002. Menteri Pertahanan ketika itu ialah Dato’ Seri Najib Razak [11].

Soalannya ialah, kenapa Menteri Pertahanan ketika itu, Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan ketika itu, Dato’ Seri Najib Razak boleh bersetuju dengan sebuah syarikat yang terpalit dengan skandal rasuah antarabangsa sebagai kontraktor untuk projek LCS yang merupakan aset pertahanan strategik negara?

Yang lebih pelik ialah kerajaan tetap berdegil untuk melantik DCNS walaupun dibantah keras oleh TLDM kerana reka bentuk serta sistem yang dibekalkan DCNS tidak sesuai dengan keperluan TLDM. Panglima Angkatan Tentera Laut menyatakan bahawa TLDM sudah pun mempunyai pengalaman yang buruk dengan syarikat tersebut [12].

3. Cost overrun sebanyak RM1.4005 bilion akibat kepincangan pengurusan projek

Tan Sri Yang DiPertua,

Skandal LCS ini bukan sahaja kita bayar RM6.083 bilion dan sebuah kapal pun belum diterima, laporan PAC juga mendedahkan bahawa projek ini sudah ada cost overrun ataupun lebihan kos sebanyak RM1.4005 bilion. Perkara ini diakui sendiri oleh pegawai Boustead Naval Shipyard (BNS) sebagai “isu pengurusan yang bermasalah”. [13]

Antara kepincangan yang menyumbang kepada lebihan kos ini ialah BNS telah menggunakan wang sebanyak RM400 juta projek LCS untuk membayar hutang lapuk projek lain. Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) Ahmad Nazim Abdul Rahman telah berkata bahawa Boustead terpaksa mengambil alih sebuah syarikat pembuat kapal tentera, PSC Industries Bhd pada tahun 2005. Justeru, Boustead terpaksa menanggung hutang syarikat lama tersebut sebanyak RM400 juta. Menteri Pertahanan pada masa itu ialah Dato Seri Najib Razak.

Disebabkan kepincangan dan penyelewengan, satu demi satu lubang terpaksa ditutup, namun setiap kali satu lubang ditutup, lubang lebih besar muncul pula sehingga kini menyebabkan skandal LCS RM9.1286 bilion.
Yang tragisnya ialah, semua ini menyebabkan BNS dan pemegang sahamnya, Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), tidak akan memperoleh sebarang keuntungan daripada projek LCS malah terpaksa menanggung kerugian. [14]

Dato Seri Najib Razak mendakwa konon projek ini adalah untuk membantu tentera kita dan veteran tentera terutamanya melalui LTAT. Namun, TLDM bukan sahaja tidak mendapat kapal tempur yang dijanjikan, malah LTAT berkemungkinan akan mengalami kerugian yang amat besar, sehingga hilang 46% daripada dana LTAT pada masa kini. [15] Ini adalah perkara yang amat membimbangkan.

4. Pembelian menjadi lebih mahal 3-4 kali ganda serta kerugian lebih RM1 bilion disebabkan syarikat orang tengah

Tan Sri Yang DiPertua,

Satu lagi kepincangan skandal LCS ini ialah penggunaan syarikat orang tengah.

BNS telah melantik dua buah syarikat, iaitu Contravest Advanced Devices Sdn Bhd (CAD) dan Contravest Electrodynamics Devices Sdn Bhd (CED) untuk menjadi ‘orang tengah’ bagi membeli peralatan. Lantikan ini telah menyebabkan kos meningkat tiga atau empat kali ganda. [16] Kalau BNS beli terus daripada Original Equipment Manufacturer (OEM), kos yang dapat dijimatkan adalah lebih kurang RM400 juta hingga RM500 juta. [17]

Kenapa BNS tidak beli terus daripada pembuat peralatan dan perlu melalui syarikat orang tengah?

Selain daripada kerugian akibat “mark up” 3-4 kali ganda tadi, dapatan audit melaporkan bahawa syarikat-syarikat tersebut telah membuat tuntutan berganda sebanyak RM537 juta, menerima surat tawaran dengan skop bertindih sebanyak RM305 juta dan menyebabkan kerugian kepada BNS akibat perubahan dalam mata wang daripada Ringgit Malaysia kepada Euro berjumlah RM13.5 juta.

Secara kesimpulannya, CAD/CED menyebabkan potensi kerugian lebih RM1 bilion kepada BNS.

Untuk makluman Dewan yang mulia ini, CAD merupakan syarikat usaha sama antara Boustead dan sebuah syarikat Jerman, Rheinmetall Air Defense (RAD). Walaupun Boustead mempunyai pegangan saham yang lebih tinggi, namun, CAD dikawal oleh syarikat asing iaitu RAD.

5. Kehilangan peluang pemindahan teknologi perkapalan ketenteraan

Tan Sri Yang DiPertua,

Segala yang terjadi ini bukan sahaja menyebabkan TLDM tidak mendapat kapal tempur setelah lebih sepuluh tahun, dan kerugian duit cukai rakyat Malaysia, malah kita terlepas peluang untuk membuat pemindahan teknologi (technology transfer) untuk industri perkapalan ketenteraan.

Syarikat Damen Shipyards dari Belanda yang pada asalnya diputuskan sebagai syarikat pembekal rekabentuk SIGMA oleh TLDM sebenarnya telah pun mempunyai rancangan untuk menjadikan Malaysia sebagai habnya.[18]

Sudah tentu jika projek ini diuruskan dengan baik, Malaysia mampu membangunkan sektor pembuatan kapal tempur berteknologi tinggi di negara kita dan bukannya seperti sekarang, duit dah habis, kapal tak ada malah benda baik yang kita miliki pun hilang.

Tan Sri Yang Di Pertua,

Saya mengucapkan syabas kepada Perdana Menteri kerana telah bersetuju untuk menyahrahsiakan laporan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Peroleh dan Kewangan Negara Kerajaan yang dipengerusikan bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang.

Skandal LCS dan masalah penyelewengan dalam kerajaan hanya boleh ditangani jika ada ketelusan.

Saya berharap dokumen-dokumen berkaitan yang lain seperti surat-surat aduan Panglima Angkatan Tentera Laut terhadap kepincangan dalam projek LCS, laporan siasatan SPRM dan sebagainya juga turut dinyahrahsiakan.

Skandal LCS ini sudah berada di tahap krisis yang terlalu besar. Rakyat secara amnya tidak yakin bahawa kerajaan pada hari ini, terutamanya Menteri Pertahanan mampu untuk menyelesaikan krisis LCS.

Laporan PAC menyebut bahawa BNS sampai mencadangkan agar kerajaan memberikan order book ataupun nilai kontrak sebanyak RM53 bilion bagi membolehkan syarikat tersebut mencari dana baru bagi menyambung projek LCS. [19] Ini bermakna baki wang asal yang diperuntukkan iaitu sebanyak lebih kurang RM3 bilion sudah tidak mencukupi untuk meneruskan projek tersebut.

Rakaman-rakaman hansard Mesyuarat PAC menunjukkan bahawa para pegawai kanan sama ada dari Kementerian Pertahanan, TLDM mahupun Boustead telah menyatakan bahawa BNS kini boleh “lingkup” bila-bila masa dan ini akan mendatangkan impak yang amat buruk kepada Boustead Holdings dan LTAT. [20]

Pengkhianatan terhadap keselamatan negara dan wang rakyat tidak boleh dipandang enteng. Media melaporkan bahawa mungkin hari ini SPRM akan memulakan pendakwaan terhadap seorang bekas pegawai kanan BNS. Namun, kita harus mengambil pendirian tegas bahawa, jangan hanya pegawai-pegawai dan kakitangan-kakitangan yang dijadikan korban. Hukuman paling keras harus diambil terhadap Menteri-Menteri malah Perdana Menteri dan pegawai-pegawai tinggi kerajaan mahupun syarikat berkaitan kerajaan yang telah terlibat dalam skandal ini. Takkan hanya dengan seorang kakitangan Boustead itu mampu menyebabkan krisis RM9.1286 bilion, menipu TLDM, mempengaruhi Menteri dan Perdana Menteri dan hampir memufliskan sebuah syarikat berkaitan kerajaan yang begitu besar?

Saya ambil maklum berita hari ini bahawa bekas pengarah urusan Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) telah didakwa di Mahkamah atas 3 pertuduhan pecah amanah. Namun demikian, menurut laporan berita, pertuduhan-pertuduhan tersebut adalah berkaitan transaksi-transaksi sebelum LOA (Letter of Agreement) dengan izin, dikeluarkan pada akhir tahun 2011. Maka pada ketika ini, tidak jelas lagi sama ada pertuduhan ini ada kena-mengena dengan kes LCS atau tidak. Seperti yang saya gariskan dalam ucapan saya, banyak isu yang berbangkit daripada apa yang didedahkan dalam laporan PAC dan tidak mungkin dapat dirungkaikan hanya dengan pertuduhan-pertuduhan ini.
Justeru, saya ingin mencadangkan agar Dewan yang mulia ini bersetuju agar sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja ditubuhkan untuk membuat siasatan penuh dan mencari penyelesaian kepada skandal LCS ini.

Hanya dengan kuasa tertinggi negara ini, yakni sebuah suruhanjaya bebas dan profesional yang diberi mandat oleh Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong, barulah kita boleh mendapat kebenaran dan seterusnya penyelesaian terhadap skandal LCS.

Sekian, terima kasih.

Saya mohon mencadang.

[1] https://www.ft.com/content/ff6c46d2-eef6-11de-92d8-00144feab49a
[2] https://www.malaysiakini.com/news/124364
[3] https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2022/01/15/selepas-beberapa-tahun-tertangguh-malaysia-bakal-terima-helikopter-md-530g-pada-mac/
[4] https://www.thestar.com.my/news/nation/2018/07/31/mat-sabu-only-four-out-of-rmaf-28-russian-fighter-jets-can-fly/
[5] Laporan PAC, 78.
[6] Laporan PAC, 82.
[7] Laporan PAC, 17, 47.
[8] Laporan PAC, 17.
[9] Laporan PAC, 80.
[10] Laporan PAC, 20.
[11] https://www.malaysiakini.com/news/389497
[12] Laporan PAC, 79.
[13] Laporan PAC, 105-107.
[14] Laporan PAC, 108.
[15] Hansard Mesyuarat PAC 11.12.21, 52.
[16] Laporan PAC, 64.
[17] Laporan PAC, 64.
[18] Laporan PAC, 79.
[19] Laporan PAC, 155.
[20] Hansard Mesyuarat PAC 11.12.21, 49-52