Skip to content

DAPSY membidas tindakan pemindahan Pengarah Operasi Khas SPRM Datuk Bahri Mohamad Zin dan Pengarah Komunikasi Strategik Badan Datuk Rohaizad Yaakob

Saya berasa amat kesal atas keputusan pihak kerajaan yang memindahkan Pengarah Operasi Khas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Bahri Mohamad Zin dan Pengarah Komunikasi Strategik Badan Datuk Rohaizad Yaakob ketika siasatan terhadap skandal 1MDB masih dijalankan.

Tindakan pemindahan kedua-dua pegawai kanan SPRM tadi serta siri siasatan dan tangkapan terhadap pegawai-pegawai SPRM sebelum ini seolah-olahnya cuba menyekat siasatan SPRM terhadap skandal 1MDB.

Selain itu, tindakan pemindahan pegawai-pegawai kanan SPRM ke Jabatan Perdana Menteri juga dilihatkan bertujuan untuk menakut-nakutkan serta memberi amaran kepada semua pegawai-pegawai yang terlibat di dalam siasatan skandal 1MDB. Dengan adanya “gangguan” dan “tekanan” yang sebegini, tentulah pegawai-pegawai tidak dapat menumpukan perhatian dalam menyiasat skandal 1MDB.

Perdana Menteri tidak boleh lagi berdiam diri dan mestilah memberi penjelasan kepada seluruh Rakyat Malaysia mengapakah pegawai-pegawai yang terlibat dalam siasatan skandal 1MDB diganggu. Janganlah memangsakan pegawai-pegawai SPRM yang menjalankan tugas mereka!

Akhirnya, saya ingin menyeru kepada semua penjawat awam agar tidak tunduk kepada tekanan dari pihak atasan dan meneruskan siasatan dengan penuh amanah supaya dapat memberi satu jawapan kepada Rakyat Malaysia bahawa apakah berlaku di dalam skandal 1MDB.

Akhirnya, rakyat akan berdiri teguh di belakang penjawat-penjawat awam yang berani mencari kebenaran demi kepentingan seluruh Rakyat Malaysia!