Skip to content

DAPSY menyokong penuh pencalonan Dato’ Seri Anwar Ibrahim sebagai calon PR untuk kerusi DUN N25 Kajang

Kekosongan kerusi DUN N 25 Kajang baru-baru ini telah dilihat oleh sesetengah pihak sebagai tindakan ‘tidak wajar’ oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR), namun demikian kami dari Pemuda Sosialis DAP Kebangsaan mengambil sikap tunggu dan lihat hingga kedudukan berhubung keadaan dijelaskan.

Dan kini, setelah penjelasan dibuat dan menimbang sedalam-dalamnya, kami Pemuda Sosialis DAP Kebangsaan mengambil pendirian untuk menyokong pen uh pencalonan Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia, mewakili Pakatan Rakyat dalam Pilihanraya Kecil DUN Kajang.

Pendirian ini dibuat berdasarkan beberapa faktor penting yang dikira sebagai langkah strategik Pakatan Rakyat dalam meneruskan usaha dan agenda pembaharuan untuk rakyat dan negara.

Ketokohan dan pengalaman Dato’ Seri Anwar Ibrahim baik sebagai Ketua Pembangkang Parlimen, Bekas Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, merupakan faktor utama DAPSY menyokong pencalonan tersebut sebagai calon yang berkualiti.

Kemahiran dan iltizam beliau sebagai bekas ketua pentadbir pastinya akan dapat membantu negeri Selangor menjadi model kerajaan reformasi yang lebih unggul dan disegani.

Selangor yang merupakan salah sebuah negeri dalam kelas yang tersendiri, memerlukan suntikan semangat dan usaha yang lebih tuntas demi mendepani cabaran yang lebih besar dan berkesan terhadap rakyat secara keseluruhannya.

Atas faktor-faktor penting inilah maka kita menolak sama sekali anggapan oleh sesetengah pihak bahawa PRK Kajang kali ini merupakan pembaziran wang rakyat. Hakikatnya, usaha ini selaras dengan prinsip demokrasi yang mengembalikan suara rakyat untuk memilih wakil mereka yang dapat membawa amanah yang lebih besar demi kebaikan rakyat secara keseluruhannya.

Selain daripada itu, Pilihanraya kecil ini juga merupakan referandum kepada tindakan Kerajaan Barisan Nasional yang telah mengurangkan subsidi petrol, pemansuhan subsidi minyak serta membenarkan kenaikan tarif elektrik yang secara langsung telah memberi kesan terhadap kenaikan harga barangan dan kos sara hidup rakyat.

Harapan agar kemenangan Pakatan Rakyat di DUN Kajang dengan majoriti yang lebih besar kelak, akan menjadi tanda aras penolakan rakyat terhadap dasar-dasar ekonomi dan sosial kerajaan minoriti Barisan Nasional. Maka, PRK Kajang ini menjadi sangat signifikan dengan suasana sosio-politik mutakhir ini.

DAPSY juga berikrar akan bekerja dan membantu dalam kerja-kerja kempen bersama dengan rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat yang lain demi memastikan kemenangan Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Kita akan pastikan kempen PRK kali ini berjalan dengan licin, bersih dan penuh etika.

Kita juga menyeru kepada pihak Barisan Nasional untuk menjalankan kempen dengan penuh tanggungjawab tanpa menggunakan kempen kotor, fitnah dan perkauman.

Kita juga mengharapkan agar pihak berkuasa, baik Polis dan SPR dapat membantu melaksanakan proses demokrasi ini dengan penuh tanggungjawab dan penuh professional.

Berjuanglah dengan penuh rasa hormat dan terbuka.