Skip to content

DAPSY Sokong Tuntutan Pembahagian Peruntukan Sama Rata Kepada Setiap Ahli Parlimen

1. Ketua DAPSY Malaysia, YB Woo Kah Leong menyatakan sokongan penuh terhadap gesaan Pengerusi Kebangsaan DAP, YB Gobind Singh Deo agar kerajaan persekutuan segera mengkanunkan dan menggubal undang-undang berkaitan Peruntukan Pembangunan Kawasan atau Constituency Development Fund (CDF).

2. Peruntukan kawasan tidak boleh lagi bergantung kepada budi bicara politik atau pendekatan sementara dan mesti dijadikan satu sistem yang jelas, adil dan berasaskan undang-undang bagi memastikan semua Ahli Parlimen, sama ada kerajaan atau pembangkang, dilayan secara saksama.

3. ⁠DAPSY turut menegaskan bahawa momentum pembaharuan ini mesti diteruskan selepas pemansuhan AUKU. Reformasi tidak boleh berhenti sebegitu sahaja, tetapi perlu diterjemahkan dalam perubahan sistem yang lebih menyeluruh.

4. ⁠Sekiranya AUKU yang menzalimi mahasiswa akan dimansuhkan, maka tindakan yang menjadikan peruntukan kawasan sebagai senjata politik pun harus dihentikan.

5. Peruntukan kawasan bukan hadiah politik daripada kerajaan. Namun peruntukan adalah wang rakyat serta hasil cukai rakyat, dan sepatutnya digunakan untuk membantu rakyat di setiap kawasan Parlimen tanpa mengira wakil rakyat mereka berada dalam pihak kerajaan atau pembangkang.

6. Penggubalan undang-undang berkaitan CDF juga merupakan langkah penting untuk menunaikan semangat manifesto Pakatan Harapan, selain membina budaya politik baharu yang lebih matang, telus dan adil.

7. Undang-undang CDF akan memberikan perlindungan menyeluruh kepada hak pengundi di seluruh negara untuk memastikan setiap Ahli Parlimen dapat menjalankan tugas untuk membantu rakyat, membangunkan kawasan dan menyelesaikan masalah setempat tanpa halangan politik.

8. DAPSY menyeru PMX untuk membawa Rang Undang-Undang Peruntukan Pembangunan Kawasan ke Parlimen dalam kadar segera. Reformasi sebegini tidak wajar ditangguh lagi demi memperkukuh demokrasi negara kita agar menjadi lebih adil dan matang.