Skip to content

RAKYAT DIREMAN, AGENSI KERAJAAN DIBERI ALASAN. KPN JANGAN BERDIAM DIRI

Di Kulai, seorang pengawal keselamatan warga Nepal dan seorang wanita tempatan ditahan serta direman empat hari hanya kerana Jalur Gemilang dan bendera Johor dipasang terbalik. Bendera dan jadual kerja dirampas, malah kedua-duanya diuji air kencing walaupun perkara itu langsung tidak berkaitan. Mereka tiada rekod jenayah dan ujian dadah juga negatif.

Setakat maklumat yang diumumkan, tiada bukti bahawa mereka sengaja menghina bendera atau menyebarkan gambar tersebut. Namun, polis menggunakan pelbagai peruntukan undang-undang, termasuk Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

Sebaliknya, apabila Jalur Gemilang tanpa bulan dan bintang dikibarkan di Dataran Batu Buruk di bawah tanggungjawab Majlis Bandaraya Kuala Terengganu, alasan “kesilapan teknikal” diterima. Bendera hanya diganti dan tiada tangkapan atau reman polis dilaporkan.

Ini jelas menimbulkan persoalan tentang layanan dua darjat. Mengapa rakyat biasa terus digari dan dimasukkan ke lokap, tetapi agensi kerajaan hanya perlu memberikan penjelasan? Jika isu imigresen menjadi alasan menahan pengawal keselamatan itu, mengapa wanita tempatan turut direman? Apakah asas menggunakan undang-undang berkaitan komunikasi terhadap mereka jika bukan mereka yang menyebarkan hantaran tular?

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail, mesti menjawab dengan fakta dan undang-undang, bukan alasan kosong. Polis tidak boleh bertindak keras terhadap rakyat biasa tetapi senyap apabila kecuaian melibatkan pihak berkuasa.

Jika beliau gagal memberikan penjelasan yang masuk akal, beliau wajar meletakkan jawatan. Jika kes semudah kesilapan memasang bendera pun tidak mampu ditangani dengan adil dan waras, bagaimana beliau mahu memimpin PDRM menghadapi kes yang rumit seperti, pembunuhan, rasuah, sindiket dan jenayah siber?