Skip to content

Datuk Abdul Rahman Dahlan seharusnya mengambil tanggungjawab dengan meletak jawatan kerana gagal mengawal harga perumahan dan menyebabkan harga perumahan di Malaysia menjadi langsung tidak mampu dimiliki

Kerajaan Pusat dipohon menyegerakan (i) Penyemakan harga jualan unit perumahan oleh Agensi Persekutuan; (ii) Perlaksanaan projek perumahan mampu milik PR1MA di Negeri Pulau Pinang dan (iii) Kelulusan permohonan Permit Mengiklan dan Lesen Pemaju (APDL) oleh pemaju di Negeri Pulau Pinang memandangkan laporan Khazanah Research Institute yang menyatakan harga perumahan di Malaysia langsung tidak mampu dimiliki.

Laporan dari Institut Penyelidikan Khazanah (Khazanah Research Institute) baru-baru ini bahawa pasaran hartanah perumahan di Malaysia adalah langsung tidak mampu dimiliki (‘seriously unaffordable’) adalah satu laporan yang mengejutkan dan Menteri yang memegang portfolio Perumahan, Datuk Abdul Rahman Dahlan seharusnya mengambil tanggungjawab dengan meletak jawatan. Seterusnya, Kerajaan Pusat perlu mengambil langkah-langkah yang segera untuk menangani dan mengatasinya.

Di peringkat negeri Pulau Pinang, Kerajaan Persekutuan perlu dengan serta-merta mengarahkan agensi-agensi Persekutuan di Pulau Pinang seperti JKP Sdn Bhd dan PERDA menyemak semula harga jualan unit perumahannya kepada harga mampu milik iaitu, antara RM200,000.00 dan RM400,000.00 di bahagian Pulau dan RM150,000.00 hingga RM250,000.00 di bahagian Seberang Perai.

Sudah tentulah harga unit perumahan yang dicadangkan oleh agensi-agensi Persekutuan ini yang mencecah hampir-hampir RM2 juta di bahagian Pulau dan RM1juta di bahagian Seberang Perai, adalah harga yang sememangnya tidak mampu dimiliki, dan sekaligus telah menyumbang kepada rumusan yang dibuat oleh Khazanah Research Insitute tersebut bahawasanya harga perumahan di Malaysia adalah langsung tidak mampu dimiliki!

Sebagai sebuah kerajaan, keuntungan seharusnya tidak diutamakan, tetapi yang perlu diutamakan ialah pembekalan unit perumahan yang mampu dimiliki. Maka, Kerajaan Pusat sepatutnya mengetepikan keuntungan hampir RM150 juta yang akan dipaut melalui 15 projeknya melalui agensi-agensi Kerajaan Pusat tersebut, dan membina pula unit-unit perumahan mampu milik yang benar-benar dapat dimiliki oleh rakyat jelata, termasuk warga negeri Pulau Pinang.

Sekiranya Kerajaan Persekutuan dapat menyelaraskan harga jualannya kepada harga yang dicadangkan iaitu harga kos rendah, kos sederhana rendah dan kos mampu milik, Kerajaan Negeri akan meluluskannya. Malahan, untuk rekod, projek-projek JKP Sdn. Bhd. yang telahpun mematuhi syarat tersebut sememangnya telahpun diluluskan permohonan kebenaran merancangnya.

Dalam pada ini, Kerajaan Negeri Pulau Pinang telahpun menunjukkan komitmennya untuk memberi keutamaan kepada pembekalan perumahan mampu milik di mana setakat ini bersama-sama Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC), Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan membina sebanyak 22,512 unit, termasuk unit rumah kos rendah, sederhana rendah dan mampu milik mulai tahun depan sehingga 5 hingga 10 tahun yang akan datang.

Selain daripada ini, pihak swasta juga telah membantu inisiatif Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk membekalkan perumahan mampu milik di mana dapat dilihat, melalui Garis Panduan Perumahan Mampu-Milik 100% oleh pihak swasta, sehingga sekarang permohonan sebanyak 12,606 unit perumahan mampu-milik telahpun dikemukakan kepada pihak berkuasa tempatan di negeri Pulau Pinang.

Malahan, untuk rekod dari 2008 sehingga sekarang, 12,471 unit perumahan kos rendah dan 7,608 unit perumahan kos sederhana rendah telah dibina di negeri Pulau Pinang dan pada masa yang sama, 3,796 unit perumahan kos rendah dan 5,246 unit perumahan kos sederhana rendah telah diluluskan untuk dibina di negeri Pulau Pinang. Selanjutnya, sejak diperkenalkan perumahan mampu milik pada 2014, Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah mengemukakan 4,973 nama pemohon kepada pemaju-pemaju perumahan mampu milik tersebut.

Selain daripada ini, Kerajaan Pusat seharusnya mempergiatkan usahanya di dalam membina perumahan mampu milik di bawah Program Perumahan Rakyat 1 Malaysia (PR1MA). Dalam pada ini, ingin saya pohon penjelasan daripada PR1MA samada 194,456 unit perumahan mampu milik sudah disiapkan olehnya sepertimana dilaporkan di dalam akhbar The New Straits Times? Sekiranya benar, di manakah ia dibina?

Sejak Akta PR1MA 2012 digubalkan, banyak pengumuman telah dibuat oleh pelbagai wakil Kerajaan Pusat, bahawa perumahan mampu milik PR1MA akan dibina di negeri Pulau Pinang. Pengumuman ini dibuat, antara lain, termasuk Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Razak dan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan.

Namun demikian, walaupun saya telah berulang-kali memohon agar perlaksanaan projek perumahan mampu milik di bawah PR1MA dilakukan dengan seberapa cepat mungkin di negeri Pulau Pinang, tiada satu unit perumahan mampu milik PR1MA pun yang dibina di negeri Pulau Pinang setakat ini.

Walaubagaimanapun, saya ingin mengumumkan bahawa satu mesyuarat telah diadakan semalam di antara saya dan wakil-wakil dari PR1MA. Saya menyifatkan perjumpaan tersebut sebagai satu langkah yang positif terhadap perlaksanaan projek perumahan mampu milik dibawah PR1MA di negeri Pulau Pinang, dan adalah diharapkan emosi dan politik tidak akan mencemarkan usaha ini.

Ini adalah kerana banyak isu-isu telah dibincang, terutamanya polisi negeri Pulau Pinang berkenaan penyediaan rumah mampu milik, terutamanya had siling harga jualan di kedua-dua bahagian Pulau dan bahagian Seberang Perai (iaitu RM200,000.00 hingga RM400,000.00 di bahagian Pulau dan RM150,000.00 hingga RM250,000.00 di bahagian Seberang Perai), kawalan saiz (iaitu antara 750 kaki persegi hingga 950 kaki persegi), syarat-syarat kelayakan, terutamanya keperluan pemohon merupakan pengundi Negeri Pulau Pinang, tidak memiliki rumah kecuali sekiranya ia adalah rumah kos rendah ataupun kos sederhana rendah dan had siling pendapatan pemohon.

Cadangan-cadangan yang konstruktif telah dikemukakan oleh kedua-dua pihak saya dan wakil-wakil PR1MA dan akan diberi pertimbangan, terutamanya berkenaan isu senarai nama pemohon yang akan digunakan apabila proses pemilihan di buat dan juga pihak yang akan bertanggungjawab di dalam penyelenggaraan projek-projek PR1MA tersebut.

Keperluan perumahan mampu milik adalah begitu ketara sekali sekarang terutamanya memandangkan laporan Khazanah Research Institute yang tersebut dan kerajaan pusat mesti menyegerakan perlaksanaan projek perumahan mampu milik di bawah PR1MA di negeri Pulau Pinang.

Berkenaan ini, saya telah mengulangi komitmen Kerajaan Negeri Pulau Pinang bahawasanya, sekiranya semua syarat-syarat perancangan dan teknikal dapat dipatuhi, maka projek-projek ini tidak akan mengalami sebarang rintangan untuk diluluskan.

Sepertimana yang saya nyatakan sebelum ini, pihak Kerajaan Negeri benar-benar mengalu-alukan perumahan jenis mampu milik oleh Kerajaan Pusat melalui PR1MA di Pulau Pinang. Ini adalah kerana rakyat Negeri Pulau Pinang yang merupakan pembayar cukai yang ketiga tertinggi di Malaysia (di mana pada tahun 2014, RM6.9 billion telah dibayar oleh rakyat Pulau Pinang kepada Kerajaan Pusat), adalah berhak untuk diberikan perumahan mampu milik oleh Kerajaan Pusat.

Sepertimana saya nyatakan, sekiranya semua syarat-syarat dipatuhi, maka Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan meluluskan permohonan untuk membina perumahan mampu milik oleh pihak PR1MA. Dalam pada masa yang sama, saya harap Kerajaan Pusat dapat memberi layanan yang saksama kepada pemaju-pemaju perumahan di Negeri Pulau Pinang yang telahpun mematuhi semua syarat-syarat di dalam permohonan mereka untuk permit pengiklanan dan lesen pemaju (Advertising Permit & Developers’ License – APDL).

Harus diingati bahawa penafian kelulusan permohonan permit pengiklanan dan lesen pemaju (APDL) ini secara langsung bermaksud penafian pemajuan projek-projek perumahan mampu milik juga, yang mana adalah begitu dikehendaki sekarang menurut laporan Khazanah Research Institute tersebut.

Saya berharap agar Kerajaan Pusat berhenti memainkan politik di dalam usaha pembekalan perumahan mampu milik kepada rakyat jelata, termasuk warga negeri Pulau Pinang, terutamanya memandangkan lapuran Khazanah Research Institute tersebut yang adalah begitu mengejutkan dan membimbangkan untuk seluruh warga Malaysia.