Skip to content

Datuk Ruhani, Rasiskah Wawasan 2020 dan 1Malaysia?

Dilaporkan bahawa Datuk Ruhanie Ahmad dari Perkasa menyeru agar DAP memansuhkan seruan ‘Malaysian Malaysia’ atau Malaysia Milik Rakyat Malaysia demi membuktikan bahawa DAP parti yang sesuai dengan masyarakat yang majmuk. Saya melihat seruan Datuk Ruhani ini bersadarkan kepada dua kesilapan.

Pertama, beliau gagal untuk faham intipati kepada Malaysia Milik Rakyat Malaysia atau Malaysian Malaysia. Adakah beliau sedar bahawa separuh benar itu lebih berbahaya berbanding tidak benar? Ini kerana beliau sekadar memetik satu deklarasi dan mengabaikan 11 deklarasi DAP yang lain untuk terus membuat kesimpulan tentang pegangan DAP.

Deklarasi Setapak sememangya merupakan asas kepada pegangan DAP. Impian besar untuk melihat setiap rakyat Malaysia dilayan sebagai satu keluarga yang setara, tanpa mengira kedudukan, tempat asal, kaum dan sebagainya. Pada masa yang sama menghormati perbezaan dan kemajmukan serta mendukung semangat Perlembagaan Persekutuan, seperti mana yang ditekankan supaya lebih jelas dalam deklarasi-deklarasi yang lain.

Malaysian Malaysia memiliki semangat yang hampir serupa, meskipun terdapat nuansa bentuk, dengan impian pembinaan bangsa yang cuba dilaksanakan melalui projek-projek terkemudian seperti Bangsa Malaysia dan Wawasan 2020. Wawasan 2020 menggariskan:

“Mewujudkan negara Malaysia bersatu yang mempunyai matlamat yang serupa dan dikongsi bersama. Ia mesti menjadi negara yang aman, berintegrasi di peringkat wilayah dan kaum, hidup dalam harmoni, berkerjasama sepenuhnya, secara adil dan didokong oleh satu bangsa Malaysia yang mempunyai kesetiaan politik dan dedikasi kepada negara;”

Malah Dato’ Seri Najib sendiri cuba, dalam bahasa orang muda, mencilok semangat Malaysian Malaysia melalui kempen 1Malaysianya yang kemudian beliau ceraikan talak satu selepas gagal menang besar pada Pilihanraya Umum ke-13. Beliau ketika menghuraikan maksud 1Malaysia di dalam Hala Tuju Program Transformasi Kerajaan 1Malaysia pada Januari 2010 menyebut:

“Matlamat 1Malaysia adalah untuk menjadikan Malaysia lebih berdaya maju, lebih produktif dan lebih berdaya saing – dan kemuncaknya sebuah negara yang hebat: sebuah negara yang diharapkan agar setiap warga Malaysia melihat dirinya terlebih dahulu sebagai rakyat Malaysia, dan kemudiannya barulah melihat dirinya berdasarkan bangsa, agama, kawasan geografi dan latar belakang sosial, dan juga sebuah negara yang diharapkan agar prinsip 1Malaysia dijalin dalam struktur ekonomi, politik dan sosial masyarakat.”

Apakah Malaysian Malaysia dan kesemua seruan itu bersifat rasis? Di sini saya melihat kesilapan kedua Datuk Ruhanie iaitu beliau tidak memahami apa itu rasisme atau sifat perkauman.

Rasisme secara permukaannya bermaksud tindakan mendiskriminasi atau prejudis ke atas suatu-suatu kaum. Rasis pula adalah pihak yang berpegang atau mengamalkan secara sedar atau tidak sedar idea-idea mendiskriminasi dan prejudis ke atas kaum lain. Maka persoalan saya, celah manakah rasisme di dalam seruan agar Malaysia ini akhirnya benar-benar milik semua rakyat Malaysia? Apakah Datuk Ruhanie tidak suka jika rakyat Malaysia ini tidak lagi berkasta-kasta baik dari segi kekayaan, kaum atau asal usul?

Mata kita hendaklah jelas dalam membezakan antara seruan perpaduan dengan perpecahan. Membezakan antara seruan untuk menerima semua sebagai satu keluarga dengan seruan mengamalkan kasta-kasta.

Ini kerana jika mata hati telah rosak, dikhuatiri yang rasis itu nanti sibuk memanggil orang lain rasis.