Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Azam Baki telah memberitahu The Sunday Star bahawa memerangi rasuah di kalangan penjawat awam adalah sangat penting. Azam harus berpegang kepada kata-katanya itu dengan melancarkan siasatan penuh terhadap “kartel” polis yang kotor dan korup seperti didedahkan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador.
Namun, Azam mengatakan bahawa SPRM tidak berniat untuk menyiasat skandal “kartel” polis dengan alasan ia merupakan masalah dalaman di kalangan polis, dan dengan demikian harus diselesaikan secara dalaman. Logik seperti itu adalah aneh dan tidak masuk akal.
Rasuah bukanlah masalah dalaman yang harus diselesaikan secara dalaman tetapi jenayah yang mesti diselesaikan secara terbuka di mahkamah. Azam perlu tahu bahawa amalan terbaik antarabangsa terhadap rasuah, memerlukan badan bebas untuk menyiasat dan mengambil tindakan dan bukannya siasatan dalaman yang cenderung untuk meminimumkan atau menutup kesalahan yang berlaku.
Jika mengikut logik Azam, SPRM tidak perlu menyiasat dan menahan anggota polis kerana melakukan rasuah bahkan sesiapa pun kerana perkara itu juga dapat diselesaikan secara dalaman. Apakah keadaan yang menjadikan pelakuan rasuah satu masalah dalaman dan siapa yang memutuskan sama ada ia dapat diselesaikan secara dalaman?
Jelas SPRM telah melepaskan tanggungjawab dan tugas perundangannya di bawah Seksyen 7 Akta SPRM yang mewajibkan SPRM untuk “mengesan dan menyiasat” kesalahan yang disyaki dan “untuk memeriksa amalan, sistem dan prosedur badan awam”. Dengan enggan menyiasat, kepercayaan rakyat terhadap kredibiliti dan profesionalisme SPRM telah terjejas teruk lebih-lebih lagi Tan Sri Abdul Hamid mendedahkan bahawa bahkan seorang bekas KPN berada dalam senarai penerima wang daripada sindiket jenayah.
Oleh kerana SPRM enggan untuk bertindak, ada keperluan mendesak awam untuk menebus kegagalan SPRM dengan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi memastikan kita dapat mencari akar masalah ini dan membersihkan pasukan polis daripada “kartel” polis yang kotor dan korup. Sekali lagi, Ahli Parlimen tidak dapat memaksa Menteri Undang-Undang Takiyuddin Hassan untuk melakukannya, kerana Takiyuddin tidak perlu lagi bertanggungjawab kepada Parlimen yang telah ditangguhkan.
Penutupan Parlimen telah membuka ruang bukan hanya kepada Menteri-Menteri Kerajaan, tetapi juga agensi-agensi penguatkuasaan kerajaan seperti SPRM, untuk lari daripada tugas dan tanggungjawab mereka demi kepentingan rakyat.