Dewan Undangan Negeri Perak akan dibuka dengan rasminya oleh DYMM Paduka Seri Sultan Negeri Perak pada 6hb Ogos, 2018 selepas pilihanraya Ke – 14. Ia kemudian akan terus bersidang pada 7, 8, 9 & 13hb Ogos 2018. Persidangan Dewan Undangan Negeri Perak kali ini akan melihat perubahan dan penambahbaikan berikut :
- Penambahan masa perbahasan sebanyak 50% untuk YB Ketua Pembangkang , Ahli – Ahli Dewan Undangan Negeri dan Masa sesi soal-jawab.
- Pengiktirafan kedudukan Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri secara rasmi.
- Pihak media diberikan akses terus dan liputan siaran langsung persidangan Dewan Undangan Negeri.
- Pintu masuk ke Dewan Undangan Negeri dikawal oleh pegawai-pegawai Keselamatan Dewan Undangan Negeri dan bukan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Masa yang ditetapkan untuk YB Ketua Pembangkang untuk berbahas telah ditambah daripada 40 minit ke 1 jam, masa untuk setiap YB ADUN berbahas ditambah daripada 20 minit ke 30 minit dan masa soal-jawab telah ditambah daripada 1 jam ke 1 ½ jam setiap hari.
Saya berterima kasih kepada Kerajaan Negeri Perak kerana telah bersetuju mengiktiraf kedudukan Ketua Pembangkang secara rasmi. Ketua Pembangkang akan diberikan kemudahan sebuah pejabat, sebuah kereta rasmi, 2 orang pegawai, seorang pemandu kereta dan elaun tambahan setiap bulan.
Dalam sistem demokrasi, pihak pembangkang tidak patut dianggap sebagai musuh tetapi dihormati kerana memainkan peranan yang telah ditetapkan dalam sistem demokrasi. Perubahan dan pembaikan ini amat memuaskan hati saya kerana saya telah memperjuangkan pengiktarafan ini sejak 2004 apabila saya menjadi ADUN Kawasan Sitiawan. Pengiktirafan ini telah dibuat pada tahun 2008 apabila Pakatan Rakyat menjadi Kerajaan Negeri Perak sebelum ia digulingkan secara tidak demokratik pada 6/2/2009 oleh Barisan Nasional.
Pihak media akan diberi kebebasan untuk meliputi persidangan Dewan Undangan Negeri. Pihak media dipohon untuk bekerjasama dengan susunan yang telah dibuat oleh urussetia Dewan Undangan Negeri supaya semua media mendapat peluang yang mencukupi untuk meliputi persidangan tersebut.
Perubahan ini perlu supaya ia tidak timbul persepsi negatif bahawa Dewan Undangan Negeri Perak adalah dibawah jagaan dan kawalan sebuah agensi pihak Eksekutif. Kita tidak mahu insiden yang berlaku pada 7hb Mei 2009 dimana pihak polis telah menyerbu masuk Dewan Undangan Negeri dan secara paksa telah mengusung keluar Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri daripada Dewan Undangan Negeri. Insiden tersebut merupakan satu titik hitam dalam sejarah Dewan Undangan Negeri Perak dan insiden sedemikian tidak harus berlaku.
Saya berharap semua ADUN-ADUN kedua-dua pihak sama ada daripada pihak Kerajaan atau pihak Pembangkang, dan pihak Kerajaan Negeri Perak akan menjalankan peranan dan tugas mereka dengan baik sepanjang persidangan Dewan Undangan Negeri nanti.