Dengan ini saya memaklumkan bahawa beberapa Jawatankuasa Bertindak telah ditubuhkan bawah portfolio saya, iaitu komunikasi, multimedia, pembangunan belia dan sukan.
Antara jawatankuasa bertindak yang telah ditubuhkan adalah seperti berikut :
– Jawatankuasa Bertindak KPI
– Jawatankuasa Bertindak Infrastruktur Telekomunikasi
– Jawatankuasa Bertindak Liputan Internet
Kandungan portfolio saya adalah di bawah 2 kementerian, iaitu Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS). Kedua-dua kementerian tersebut memainkan peranan yang amat penting sekali dalam pembangunan negeri Melaka.
Fasa “pintar” dalam Slogan Negeri Melaka “Pintar Hijau Bersih” menunjukkan bahawa kerajaan baru negeri bertekad untuk menjadikan negeri Melaka sebagai negeri yang fokus dalam bidang teknologi dan digital, serta menambah baik kualiti dan liputan internet sebagai permudahcara kepada segala teknologi.
Selain daripada itu, kerajaan Pakatan Harapan juga komited dalam membangunkan dan memberi platform yang sepenuhnya kepada golongan belia dan golongan yang mencebur dalam bidang sukan. Ini adalah selari dengan aspirasi Pakatan Harapan bukan sahaja di peringkat negeri tetapi persekutuan.
Sebagai satu langkah untuk memberi penumpuan dan mempercepatkan usaha kerajaan Pakatan Harapan dalam pembangunan negeri Melaka dari segi aspek tersebut, jawatankuasa bertindak seperti yang disebutkan diatas telah pun ditubuhkan.
Jawatankuasa Bertindak KPI memainkan peranan yang penting dalam penilaian, penambahbaikan dan pemantauan prestasi setiap jabatan / agensi, termasuk anak syarikat di bawah portfolio saya.
Jawatankuasa Bertindak Infrastruktur Telekomunikasi akan ditugaskan dalam menaik taraf kualiti serta perancangan pembinaan infrastruktur telekomunikasi dengan berhemah dalam merealisasikan hasrat kerajaan Pakatan Harapan untuk menjadikan negeri Melaka sebagai negeri yang pintar.
Jawatankuasa Bertindak Liputan Internet pula akan bertumpu dalam mencari cara penyelesaian untuk meningkatkan liputan internet dalam negeri Melaka.
Anggota jawatankuasa bertindak tersebut terdiri daripada jabatan-jabatan dan agensi-agensi yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam portfolio saya.